Umur 3 tahun, kanak-kanak ‘genius’ Malaysia jadi antara individu termuda di dunia diterima masuk ke Mensa - Semasa | mStar

Umur 3 tahun, kanak-kanak ‘genius’ Malaysia jadi antara individu termuda di dunia diterima masuk ke Mensa

Haryz menjadi salah seorang individu paling muda di dunia yang diterima masuk ke persatuan IQ tinggi global, Mensa. -foto FB Nur Anira Asyikin

KETIKA Haryz melontarkan beberapa patah perkataan pertamanya pada usia tujuh bulan, ibunya dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa pada si kecil itu.

Memasuki usia dua tahun, Haryz atau nama penuhnya Muhammad Haryz Nadzim sudah boleh membaca sendiri buku-buku ceritanya sebelum tidur.

Sekarang, si pintar berumur tiga tahun ini menjadi individu paling muda yang terbaharu diterima masuk ke persatuan IQ tinggi global, Mensa. (anggota termuda yang pernah diterima masuk sebelum ini berusia dua tahun).

ARTIKEL BERKAITAN: Pintar sangat, pelajar lepasan PT3 buat kajian PhD di Jerman - “Saya boleh scan, ingat setiap fakta”

Walaupun ibu bapanya Nur Anira Asyikin Hashim dan Mohd yang tinggal di Durham, UK, mempunyai latar belakang kejuruteraan tetapi mereka tidak pernah menyangka anak mereka akan menunjukkan tanda-tanda kepintaran luar biasa pada usia semuda ini.

"Kami tak mempunyai banyak pengalaman, jadi kami fikir dia macam kanak-kanak lain," kata Anira dalam satu temubual eksklusif dengan Metro.co.uk.

Haryz boleh menyebut beberapa patah perkataan seawal usia tujuh bulan. -foto FB Nur Anira Asyikin

Sehinggalah Haryz dihantar ke tadika dan pasangan ini diberitahu bahawa perkembangannya lebih cepat berbanding lanak-kanak lain, barulah mereka berdua sedar tentang keistimewaannya.

"Ketika berada di sekolahnya, dia dapat membaca keseluruhan buku-buku cerita kegemarannya," kata Anira.

Haryz kini telah dijemput untuk menyertai Mensa British selepas mencapai skor IQ yang luar biasa iaitu 142 dalam ujian Stanford Binet.

Kami berkomunikasi dengannya dalam bahasa Melayu di rumah. Haryz sendiri tak tahu dirinya bijak.

NUR ANIRA ASYIKIN

IBU KANAK-KANAK GENIUS

Dia kini menjadi salah seorang individu termuda dalam dunia yang akan diterima masuk ke persatuan eksklusif tersebut.

Dia diuji oleh ahli psikologi yang mempunyai kepakaran dalam menilai kanak-kanak pintar, Lyn Kendall.

Nur Anira dan suami akan sentiasa menyokong Haryz. -foto FB Nur Anira Asyikin

"Kami hanya mahu tahu dengan jelas bagaimana kami dapat membantunya.

"Kami berharap dapat membantunya mencapai sepenuhnya potensi dan menyokong apa sahaja yang dilakukan.

"Kami tak mahu dia berasa kurang mendapat rangsangan, tetapi pada masa yang sama kami tak mahu dia rasa dipaksa. Kami mahu dia menjadi seorang kanak-kanak yang bermain dan melakukan perkara biasa yang dilakukan oleh rakan seusia dengannya," kata Anira.

Selepas menyedari bahawa Haryz dapat membaca dan mengingati keseluruhan cerita pada usia dua tahun, ibu bapanya membuka saluran YouTube Little Haryz, supaya kanak-kanak lain dapat menontonnya dan dijadikan galakan.

Haryz tak ubah seperti kanak-kanak lain seusia dengannya. -foto FB Nur Anira Asyikin

"Dia macam kanak-kanak berusia tiga tahun dalam segala segi.

"Dia suka main air berlopak, melukis, menyanyi, semua perkara normal untuk kanak-kanak pada usia ini.

"Program televisyen kegemarannya adalah Story Bots dan Numberblocks, tetapi dia lebih suka berbual dengan rakan-rakan yang lebih tua dan orang dewasa.

"Haryz suka bertanyakan soalan dan bercakap tentang angkasa lepas dan nombor... dia suka baca buku.

"Apa yang lebih mengagumkan selain kepintaran Haryz dan minat membacanya, bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertamanya.

"Kami berkomunikasi dengannya dalam bahasa Melayu di rumah. Haryz sendiri tak tahu dirinya bijak," katanya.

Nur Anira berkongsi surat daripada Mensa di Facebooknya. -foto Nur Anira Asyikin

Bagi keluarga, mereka sangat gembira mendapat tahu Haryz diterima masuk ke Mensa dan berharap ini menjadi langkah pertama dalam perjalanannya ke arah mencapai kejayaan lain yang luar biasa.

"Ia sangat mengujakan dan kami yakin ini akan membantunya menjadi seorang yang lebih yakin dan percaya dengan diri sendiri supaya dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat pada masa depan.

"Kami berharap dapat menyediakan satu persekitaran yang akan dapat mendorongnya untuk belajar.

"Perkara yang paling penting sekali dia gembira dengan apa yang dilakukan dan kami akan berbangga dengan segala bentuk pencapaiannya," katanya.

Bercakap dengan Mensa, mereka akan dapat mengesahkan bahawa Haryz menjadi ahli termuda dalam kumpulannya sebaik sahaja semua dokumen keahliannya diproses. -Metro UK

pintar , IQ , genius , Haryz , Mensa

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Model buta sebelah kerana tatu mata

Tommy Thomas letak jawatan Peguam Negara