suria

200,000 dos vaksin Influenza dibawa masuk ke negara ini

Gambar hiasan.

KIRA-kira 200,000 dos vaksin influenza akan dibawa masuk dalam masa dua bulan ini bagi memenuhi permintaan yang mendadak bagi vaksin itu pada masa ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 16,800 dos sudah tiba di negara ini pada Sabtu manakala selebihnya akan tiba secara berperingkat.

“Sebanyak 15,000 dos akan tiba pada 20 Januari dan 67,000 dos pada 27 Januari, menjadikan jumlah sekitar 100,000 dos vaksin akan tiba bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kesihatan di Bangunan Peladang di Jalan Templer, Petaling Jaya pada Sabtu.

Karnival Kesihatan yang dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) diadakan hari ini di 11 negeri bertujuan menekankan kepentingan kesihatan dalam kalangan orang ramai.

Dr Dzulkefly berkata sebanyak 100,000 dos vaksin lagi akan diperoleh dalam masa dua ke tiga minggu.

Sementara itu, beliau menggesa kesemua penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap keadaan wabak itu dengan mengaut keuntungan dan menaikkan harga vaksin keterlaluan.

Beliau berkata walaupun terpulang kepada mereka untuk menetapkan harga vaksin influenza kerana ia tidak berada di bawah kategori ubat terkawal, namun harga yang dikenakan tidak seharusnya melebihi RM100.

“Kita perlu bekerjasama untuk membantu memerangi penyakit ini kerana permintaan dan bekalan telah menjadi enam kali lebih tinggi, justeru, kita berharap tiada lagi kenaikan harga pada vaksin ini.

“Kami belum menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai perkara itu...tetapi orang ramai boleh berbuat demikian sekiranya mereka mendapati mana-mana penyedia penjagaan kesihatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata kerajaan menyedari bahawa kos penjagaan kesihatan meningkat dan kementerian sendiri sedang melakukan yang terbaik untuk menangani isu ini.

“Rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri, mengamalkan tabiat yang sihat sejak usia muda dan menjalani gaya hidup sihat atau simpanan dan dana persaraan akan dibelanjakan untuk bil hospital, itulah realiti yang menyakitkan.

“Adalah menjadi harapan saya supaya lebih ramai rakyat Malaysia akan memahami kepentingan kesihatan dalam apa jua yang kita lakukan dan tanpa kesihatan, kita mungkin tidak akan maju dalam karier kita...produktiviti dan kewangan negara juga akan terjejas,” katanya. - BERNAMA

vaksin, Influenza, Dr Dzulkefly Ahmad

Artikel Lain