Rakyat Kimanis pilih Ahli Parlimen baru, sebanyak 19 pusat mengundi dibuka

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang (kanan) dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin. Foto: Bernama

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Kimanis berlangsung pada Sabtu dengan 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Proses mengundi yang akan berlangsung selama sembilan jam setengah itu, membabitkan seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan berdasarkan jumlah itu lapan daripada sembilan orang sudah mengundi awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Kimanis: Pertandingan satu lawan satu Warisan-BN

Seramai 653 petugas pilihan raya dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian itu.PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Karim dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, manakala Mohamad di SK Our Lady, Kampung Kelatuan.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan pergi mengundi pada PRK itu kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumum sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak hari penamaan calon pada 4 Januari lepas, berakhir pada 11.59 malam Jumaat.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain