Terpisah dengan ibu kandung sejak usia 3 bulan, ibu tiri pecah rahsia seminggu sebelum meninggal – “Saya bimbang takut tak sempat”

Khairul Nizam terpisah dengan ibu kandung sejak berusia tiga bulan.

“SAYA nak cari ibu kandung sebab terlalu rindu… saya bimbang takut tak sempat.”

Demikian luahan seorang lelaki yang terpisah dengan ibu kandungnya sejak berusia tiga bulan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Khairul Nizam Omar, 40, berkata kisah sedih itu bermula selepas ibu dan bapanya, Omar Mahmud, 74, mengambil keputusan untuk berpisah selepas hampir kira-kira enam tahun berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada zuriat bukan alasan kahwin lain! Hampir 20 tahun baru dapat anak, tapi layanan tetap sama - “Sampai meninggal ayah tak tahu saya dah tahu”

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung”

“Selepas mengambil keputusan untuk bercerai, ibu membawa abang tinggal bersamanya di Selangor, manakala ayah pula membawa saya yang ketika itu berusia tiga bulan ikut bersamanya ke Taiping, Perak. Ketika itu ayah sudah mempunyai isteri kedua, iaitu ibu tiri saya.

Bapa kandung Khairul Nizam, Omar Mahmud berpisah dengan ibu kandungnya selepas kira-kira enam tahun berkahwin.

“Ayah merupakan seorang pegawai polis dan bertugas di salah sebuah balai di Taiping. Masalah bermula apabila beberapa maklumat dalam surat beranak saya ditukar termasuk nama ibu kandung yang digantikan dengan nama ibu tiri saya.

“Perkara ini dirahsiakan daripada saya sehinggalah pada 2016, ibu tiri saya menceritakan hal yang sebenarnya seminggu sebelum dia meninggal dunia. Mungkin sebab tahu masanya hampir ‘tiba’. Jika tidak, sampai bila-bila pun saya tak tahu,” ujarnya yang kini menetap di Ulu Kinta, Perak.

Menurut Khairul Nizam, selepas mengetahui perkara tersebut, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada bapanya, namun hampa apabila bapanya masih berdolak dalih.

Khairul Nizam hanya mengetahui cerita sebenar selepas diberitahu oleh ibu tirinya pada 2016.

“Dalam tempoh beberapa tahun itu, saya masih tak dapat jawapan. Sehinggalah September 2019, saya akhirnya all out.

“Cara pertama, saya ke pejabat agama di daerah Petaling, Gombak dan Hulu Langat untuk mencari maklumat. Namun hampa kerana mereka tiada rekod perkahwinan ibu dan ayah memandangkan perkahwinan itu berlaku sekitar 1972 atau 1973. Terlalu lama.

“Bila gagal, saya kemudian bertanya sana sini kepada adik beradik ibu tiri dan saudara mara. Namun tetap hampa. Disebabkan terdesak, saya pernah buat rakaman video dan muat naik di YouTube. Tetap tak ada hasil,” ujar bapa kepada dua anak ini.

Tapi yang menjadi masalah, saya langsung tak ada gambar ibu kandung, malah namanya juga saya tak tahu kerana saya terlalu kecil ketika ibu dan ayah berpisah.

KHAIRUL NIZAM OMAR

ANAK

Bercerita lebih lanjut, Khairul Nizam berkata, dia kemudian terpaksa tebalkan muka apabila mengambil keputusan untuk membuat hebahan menerusi Facebook.

“Tapi yang menjadi masalah, saya langsung tak ada gambar ibu kandung, malah namanya juga saya tak tahu kerana saya terlalu kecil ketika ibu dan ayah berpisah. Jadi, usaha saya menghebahkan di media sosial itu tetap gagal.

“Kemudian, saya ke Kedah untuk bertemu rakan ayah untuk mendapatkan lebih maklumat, pun gagal juga. Tapi saya masih tak putus asa dan beralih pula bertemu dengan imam serta tok kadi di Kamunting untuk meminta bantuan mereka bertanya kepada saudara mara ibu tiri.

“Selepas beberapa kali gagal, saya akhirnya memutuskan untuk memviralkan pencarian ibu kandung menerusi media. Saya berharap sangat usaha ini membuahkan hasil,” katanya yang kini bekerja sendiri.

Sijil kelahiran yang didakwa Khairul Nizam 'dipalsukan' oleh bapanya dengan bantuan rakan.

Ujar Khairul Nizam, dia terlalu ingin menatap wajah ibu kandung yang tak pernah diketahui rupa dan nama sejak dilahirkan.

“Siapa yang tak rindu dengan ibu sendiri, tambah lagi tak pernah lihat rupa, tak ada gambar nak tatap, nama pun tak tahu. Lagi pula saya dah berusia 40 tahun, dalam anggaran saya, umur ibu pastinya dalam lingkungan 60 lebih… sudah tua.

“Saya bimbang kalau tak cari sekarang, takut tak sempat… Kita tak tahu sampai bila kita hidup. Kepada sesiapa yang ada maklumat mengenai ibu dan abang kandung saya, boleh hubungi saya di talian 017-466 9861. Saya berharap sangat untuk bertemu ibu… walaupun sudah bertahun lamanya, saya tetap menaruh harapan,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Artikel Berkaitan

Artikel Lain