suria

Pegawai Psikologi dedah ramai nak jadikan Afan anak angkat - “Dia tengok je jenazah tu bila kami paksa dia cium”

Afan dipaksa mencium ibunya sewaktu proses mandi dan kafankan jenazah di PPUM (gambar kanan).

"USIA Afan hampir dua tahun, belum mengerti apa-apa lagi. Anak ini kuat, Allah beri ujian kepada hambaNya yang mampu menghadapinya".

Demikian luahan hati seorang wanita di Facebooknya mengenai kisah Muhammad Arfan Ziqri yang kehilangan kedua ibu bapanya dalam sekelip mata.

Ibu bapa kanak-kanak itu, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, dan Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?”

ARTIKEL BERKAITAN: Selama 4 bulan bertarung nyawa akibat kanser, akhirnya baby Nishka pergi buat selamanya

Lebih mengejutkan hasil bedah siasat ke atas Nurul Ashikin mendapat wanita itu sedang hamil anak kembar.

Perkongsian Zaiwana Ngojar yang juga Pegawai Psikologi (Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengenai kanak-kanak berusia 22 bulan itu yang lebih dikenali sebagai Afan menjadi tular di Facebook.

Gelagat Afan sewaktu jenazah kedua ibu bapanya disembahyangkan di masjid PPUM.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dengan nasib kanak-kanak itu.

Zaiwana ketika dihubungi mStar berkata dia sendiri sebak mengenang nasib Afan yang menerima ujian sehebat itu ketika usianya masih lagi terlalu muda.

"Saya sendiri menangis masa tu. Bila saya tengok Afan timbul rasa simpati, sebak dan terharu sebab dia masih kecil.

"Dia baru setahun lebih belum mengerti apa-apa. Kami paksa dia cium mak dia sewaktu nak mandi dan kafankan jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Dia tengok jenazah tu... dia buat tak tahu jelah dan memang dia tak cari mak ayah dia," katanya.

Malah wanita berusia 38 tahun itu turut mendedahkan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang mahu menjadikan Afan sebagai anak angkat.

Zaiwana sewaktu bertemu Afan di PPUM.

"Lepas posting saya viral, ramai PM saya di Facebook. Ada yang beritahu nak ambil dia jadikan sebagai anak angkat.

"Saya sendiri pun nak jaga dia juga tapi kita kena bersangka baik dengan ketentuan Allah.

"Realitinya Allah jaga anak ini dan ada rezeki yang Allah titipkan dan tentukan buat dirinya," kata Zaiwana.

Jelasnya lagi, kisah menimpa Afan menimbulkan keinsafan dalam diri supaya ibu bapa lebih berhati-hati di jalan raya.

"Bila tengok nasib kanak-kanak ini, kita sebagai ibu pun risau jika perkara sama berlaku pada diri kita. Masa tu terus teringat dekat anak-anak. 

"Sampai kita sendiri pun takut. Apa pun kita harus sentiasa berhati-hati terutama ketika memandu untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku. Ingatlah orang tersayang," katanya sambil menambah Afan kini dijaga waris sebelah ibunya.

Afan kini dijaga waris sebelah ibunya di Bachok, Kelantan.

Sementara itu, Zaiwana turut berkongsi perbualan terakhir arwah ibu Afan dengan salah seorang rakannya di Bahagian Narkotik IPD Shah Alam.

"Masa arwah (ibu Afan) keluar dari rumah pengasuh dia bertembung dengan seorang kawan saya di Bahagian Narkotik. Arwah sempat beritahu kawan dia mungkin balik lewat.

"Aku takut tak ada orang ambil Afan nanti. Arwah macam dapat rasa dia akan pergi. Bila dapat berita kemalangan tu, kawan pun teringat kata-kata arwah pagi tu.

Realitinya Allah jaga anak ini dan ada rezeki yang Allah titipkan dan tentukan buat dirinya

ZAIWANA NGOJAR.

Pegawai Psikologi (Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling) IPD Shah Alam.

"Pengasuh pun ada cerita arwah beritahu Afan 'mama mungkin balik lewat malam, nanti tidur dulu dengan acik ye dik'. Rupa-rupanya itu pesanan terakhir sebelum dia pergi," katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Muhammad Syakiran, Zaiwana menyifatkan Allahyarham seorang pekerja yang berdedikasi dan disenangi ramai.

"Memang sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang baik. Allahyarham amat disenangi ramai. 

Jenazah Nurul Ashikin dan Syakiran selamat dikebumikan awal pagi Rabu.

"Macam kami pegawai boleh tahu anggota mana yang mudah nak bekerjasama. Allahyarham memang baik... tak pernah ada isu," katanya.

Jenazah anggota polis dan isterinya itu selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir, Bachok Kelantan kira-kira pukul 2.20 pagi Rabu.

Terdahulu, kedua jenazah itu tiba di rumah keluarga Syakiran di Kampung Repek di Bachok, pukul 1.01 pagi dengan dua van jenazah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suasana pilu apabila ketibaan jenazah diiringi tangisan ahli keluarga selain anak tunggal mangsa asyik menyebut ‘abi...abi...’ memanggil arwah Syakiran.

Gelagat Afan sewaktu jenazah kedua ibu bapanya disembahyangkan di masjid PPUM.
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain