suria

“Sekujur tubuh sejuk berkain putih menggantikan skrol ijazah” - Graduan ini kesal pihak hospital lewat maklumkan kematian anak saudara

Berita kematian bayi lelaki, Adam Munib meninggal selepas tiga hari dirasai oleh ahli keluarga.

"AJAL maut ditangan Tuhan, setiap yang hidup pasti menemui kematian," itulah antara ungkapan keinsafan buat setiap insan.

Kegembiraan yang sepatutnya diraikan bersama keluarga tercinta bertukar pilu apabila mendapat berita pemergian bayi yang baru tiga hari melihat dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser

Baru-baru ini tular satu perkongsian yang dimuat naik oleh seorang lelaki bernama Ahmad Harits Mohd Zamrin, 25, pada Jumaat menerusi akaun Facebook miliknya.

Posting Harits yang juga salah seorang graduan di Universiti al-Azhar, Mesir mendapat perhatian ramai dengan meraih 327 perkongsian dan 924 tanda suka.

Posting yang dimuat naik oleh Harits di laman Facebooknya.

Menurut Harits, sepatutnya Khamis lalu adalah hari istimewa untuk beliau meraikan kejayaannya bergelar graduan selepas empat tahun bekerja keras menamatkan pengajian kuliah Usluddin Fakulti Hadis Wa Ulumuhu.

Namun kegembiraan itu hilang sekelip mata apabila pada hari yang sama beliau mendapat berita anak buahnya telah dijemput Ilahi.

"Ada kejutan di hari tersebut yang saya khaskan untuk kedua ibu bapa. Mereka tiba awal pagi 10 Oktober untuk dua tujuan utama, meraikan majlis konvokesyen saya dan melihat cucu ketiga mereka yang lahir tiga hari lalu," kongsinya di posting itu.

Tambahnya lagi, bayi yang diberi nama Adam Munib merupakan putera sulung kepada adik beliau Siti Hajar Mohd Zamrin bersama suaminya, Muhammad Ihsan yang selamat dilahirkan pada Isnin lalu.

"Saya, isteri dan anak-anak berserta beberapa kawan Hajar ada pada hari Adam dilahirkan. Kami menemani Hajar dan Ihsan sepanjang berada di wad hospital menunggu putera sulung ini dilahirkan.

"Saya menjadi saksi betapa gembiranya si ayah apabila memegang anaknya. Syahdu sungguh suasana di bilik itu apabila Adam diazankan di telinganya. Kegembiraan memenuhi hati-hati kami," luahnya tanda syukur atas kelahiran bayi itu.

Adam Munib menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari dilahirkan.

Namun, keadaan sedikit risau apabila Adam dimasukkan ke wad sekitar pukul 4 pagi kerana bacaan kuningnya tinggi malah menurut doktor bayi sulung itu dipercayai terkena jangkitan serta beberapa masalah lain.

"Sekitar pukul 2 pagi, pesawat yang membawa mak ayah dan adik bongsu kami selamat tiba di Kaherah. Ketibaan mereka disambut lambaian si kecil Ammar Yasir saat melihat atuk dan neneknya dari jauh.

"Esok pagi sebelum kita gerak ke konvo, kita pergi lawat Adam dulu. Biar tenang hati atuk dan neneknya," kata Harits yang juga bapa kepada dua cahaya mata yang dijadualkan menggenggam segulung ijazah pada Khamis.

Mengenakan jubah serta berkasut hitam, kelihatan kedua ibu bapa Harits seakan-akan tidak sabar untuk melawat cucu ketiga mereka yang dilahirkan tiga hari lalu.

Setibanya mereka di hospital, seorang jururawat menahan dan memaklumkan bahawa mereka hanya dibenarkan masuk jika mendapat kebenaran dari doktor.

Itulah Adam, anak syurga. Hari itu tangan saya seharusnya mengenggam skrol. Namun, hanya sekujur tubuh yang sejuk berkain putih yang menjadi ganti. Kain kafan yang membalut tubuh seorang Adam Munib

[AHMAD HARITS MOHD ZAMRIN

GRADUAN UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR

Namun selang beberapa minit kemudian, mereka mendapat berita yang mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa Adam telah menghembuskan nafasnya pada awal pagi Khamis sekitar pukul 5 pagi.

Seakan-akan tidak percaya dengan berita kematian putera sulung pasangan Hajar dan Ihsan, mereka mempersoalkan mengapa tidak terus memaklumkan pada masa kejadian.

"Anak kamu dah mati. Ya. Anak kepada Siti Hajar kan? Sekitar Subuh, mungkin pukul 5 atau 6 pagi," kata salah seorang pegawai disitu, sebelum bangun dan bergelak ketawa bersama rakan yang lain.

Sedikit kecewa dan terkilan dengan sikap pihak hospital yang seakan-akan tidak profesional dalam memaklumkan pemergian Adam kepada warisnya, malah menganggap berita kematian bayi itu seperti tiada apa-apa.

"Saya memeluk Ihsan, yang terkejut dengan berita itu. Kemudian, saya turun dan maklumkan kepada ayah dan mak yang sedang menunggu di bawah. Ayah mempersoalkan mengapa tidak dimaklumkan lebih awal. Mana doktor, ayah nak jumpa," katanya.

Harits menegaskan terdapat beberapa faktor yang membuatkan beliau kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak hospital dalam mengendalikan kes Adam ini.

Pertama adalah sikap tidak bertanggungjawab pihak hospital kerana tidak memaklumkan berita kematian Adam. Apabila ditanya mengapa, jawapannya ialah pejabat pendaftaran kematian hanya buka pukul 9 pagi. Jadi buat apa tahu awal-awal.

"Allah... ini anak, bukannya barang. Mak dia tak tidur malam memikirkan nasib anaknya, kamu boleh buat keputusan besar tanpa consult ibu bapanya?" luah Harits yang hampir lima tahun menetap di Mesir dengan kecewa.

Rata-rata netizen memberikan kata-kata positif.

Selain itu, beliau turut mengesyaki berlaku kecuaian di pihak hospital sepanjang mengendalikan kes Adam ini.

"Jelas apabila diminta rekod perubatan Adam, doktor kata semuanya ditulis tangan. Bila ayah minta tunjuk, doktor akan masuk ke dalam dan bawa kertas yang dipenuhi dengan catatan yang seperti baru ditulis. Kenyataan doktor pula sering berubah-ubah. Sekejap kata jam sekian, kemudian tukar jam sekian pula seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

"Mungkin sekiranya jika kes ini dikendalikan di Malaysia, peluang Adam untuk melihat hari baru lebih cerah," katanya menerusi posting tersebut.

Bagaimanapun, Harits sekeluarga reda akan takdir Tuhan yang tentunya tidak boleh dihalang. Namun, sebagai manusia kita diminta untuk terus berusaha sebaik mungkin.

"Itulah Adam, anak syurga. Hari itu tangan saya seharusnya menggenggam skrol. Namun, hanya sekujur tubuh yang sejuk berkain putih menjadi ganti. Kain kafan yang membalut tubuh seorang Adam Munib," luahnya lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
graduan, kesal, doktor

Artikel Lain