Datang nak lawat, anak terpaksa tipu bapa ‘mak OK’ walau dah meninggal... ikut isteri 6 bulan kemudian - “Mak hang mai dah tu, cantik dia” - Viral | mStar

Datang nak lawat, anak terpaksa tipu bapa ‘mak OK’ walau dah meninggal... ikut isteri 6 bulan kemudian - “Mak hang mai dah tu, cantik dia”

Setiap antara kita pasti akan menemui ajal, itu janji Allah. -Gambar hiasan

AYAH dan ibu, dua insan yang tidak dapat dicari ganti. Sudah jadi lumrah hampir setiap antara kita pasti akan diuji dengan kehilangan orang tersayang.

Namun, lain orang lain caranya untuk meluahkan perasaan jika ditimpa ujian sebegini.

Bagi Embun, gadis berusia 23 tahun ini, dia menggunakan laman sosial untuk berkongsi rasa yang terbuku di hati tentang sakitnya merindui orang yang telah tiada.

Menulis kapsyen, 'Sangat pedih, dalam masa enam bulan... hilang dua permata syurga dunia dan akhirat,' luahan gadis ini di laman Twitter @embunnnn pada Ahad lalu mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat berkelakuan pelik, segalanya terjawab ketika konvoi jalan-jalan cari makan, “Dia cakap hal mati, kemalangan dan rindu arwah ibu bapa”

Menurut Embun, dia berdepan ujian berat yang membuatkan hatinya hancur luluh apabila dalam tempoh enam bulan dia kehilangan kedua ibu bapanya.

"Waktu mak meninggal, tak sempat nak cium tangan dia. Tapi teman mak naik ambulans sampai habis hayat dia. Sedih bila terpaksa tipu ayah kata mak masih OK kat zon merah tu. Walaupun masa tu mak dah tak ada.

"Bukan apa, ayah datang hospital lepas solat Jumaat. Tapi tak mau bagi dia sedih, suruh dia balik dengan abang ipar. Aku cakap mak kat zon merah lagi, doktor tengah check tapi sebenarnya mak dah takda. Tak tahu nak cakap macam mana kat ayah," katanya menerusi perkongsian tersebut.

Berdasarkan perkongsian tersebut, bapanya kelihatan sangat sedih sejurus mengetahui berita kehilangan ibunya kerana mereka menempuhi kehidupan susah senang bersama.

Gambar arwah ayah dan ibu Embun, yang kini hanya menjadi kenangan.

"Setiap malam ayah akan suruh aku tengok gambar mak masa muda, masa dia tengah sihat. Dan hampir setiap malam ayah menangis je. Letak gambar mak bawah bantal," jelasnya lagi.

Difahamkan selepas tiga bulan ibunya meninggal dunia, bapa gadis ini pula diserang strok dan hampir sebulan dimasukkan ke hospital.

"Ada satu hari tu, masa giliran aku jaga ayah, dia kata mak hang mai dah tu, cantik dia," dia berkongsi pengalaman.

Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya berpisah mati dengan ayah tercinta. Semoga mak dan ayah tenang di sana. InshaAllah syurga buatmu. Al-Fatihah untuk Baharom atau Pak Id dan Izizah atau Kak Zah

EMBUN

Malangnya, tidak lama kemudian sekali lagi bapanya diserang strok dan meninggal dunia.

"Lepas tiga bulan sakit, bulan puasa ayah ikut mak. Pagi sebelum ayah meninggal tu, dia ada minta air Milo tapi kami adik beradik tak buat sebab pagi tu kami dah bancuh air teh untuk dia.

"Kami saja bergurau, 'ayah ni tak puasa, la ni bulan puasa mana boleh minum air'. Lepas tu, dia kata tak pa tak payah minum, telan air liur dahlah hahaha..." kata Embun sambil menyifatkan bapanya seorang yang suka bergurau.

Namun demikian, kegembiraan mereka sekeluarga hilang selepas bapanya menghembuskan nafas terakhir pada Mei lalu.

"Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya berpisah mati dengan ayah tercinta. Semoga mak dan ayah tenang di sana. InshaAllah syurga buatmu. Al-Fatihah untuk Baharom atau Pak Id dan Izizah atau Kak Zah," luahnya mengenangkan peristiwa lalu.

Rata-rata netizen turut bersimpati dan mendoakan yang terbaik buat arwah.

Arwah ibu gadis itu, menghembuskan nafas terakhir pada 3 November 2017, Jumaat. Manakala, bapanya pergi menghadap Illahi pada 21 Mei tahun lalu.

Meninggal , ayah ibu , sedih