suria

Terkejut ada 3 benjolan di payudara, selama ini ingat sihat je - “Rasa nak pengsan, fikir macam-macam”

Intan berkongsi pengalaman mengenai ketumbuhan ketulan di payudara. Foto: Instagram Intan.

AWAS, jangan ambil mudah hal penjagaan kesihatan walaupun badan terasa sihat!

Perkongsian seorang personaliti media sosial, Intan Nabila Syafinaz Kaharudin, 25, dianggap sebagai 'penggera' kepada semua wanita supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurang dua kali setahun.

Menurut Intan yang juga merupakan jurusolek artis terkenal ini, dia sangat terkejut apabila diberitahu terdapat tiga benjolan di bahagian bawah sekitar payudara kirinya.

Segalanya bermula apabila dia terlibat dalam penggambaran sempena program Breast Canser Awareness, Oktober ini.

Intan bersama suami dan anak-anaknya. Foto kredit: Instagram Intan

"Selama tiga tahun menyertai program 'Pink October' inilah kali pertama saya berpeluang mendapat pemeriksaan lebih terperinci.

"Seperti biasa memang tidak terlintas pun akan ada sebarang ketumbuhan memandangkan saya rasa badan memang sihat, tapi pengalaman kali ini memang menakutkan saya.

"Selepas jururawat memberitahu ada tiga ketulan, terus otak saya berfikir ia adalah kanser. Jelas doktor, dua daripada tiga ketukan itu merupakan 'cyst' dan satu lagi adalah lump, ia tidaklah terlalu besar hanya kurang satu sentimeter," jelasnya kepada mStar.

Kalau melibatkan perkara seperti ini, jangan ada perasaan segan atau malu. Paling penting pergi buat pemeriksaan.

INTAN NABILA SYAFINAZ KAHARUDDIN

PERSONALITI MEDIA SOSIAL/JURUMEKAP

Tambah Intan, fikirannya memang tidak menentu dan takut apabila diberitahu tentang perkara tersebut.

"Mula-mula memang tak beritahu sesiapa kerana ibu saya ada di situ, dia turut menjalani rawatan mamogram. Jadi saya hanya kongsi dengan salah seorang kru sahaja.

"Memang ketika itu ada rasa nak pengsan, fikir macam-macam. Saya buat lagi sekali ujian ultrasound dan doktor ada jelaskan payudara saya sedikit mengeras, lagilah saya rasa bimbang," katanya.

Bagaimanapun, penjelasan doktor melegakan dirinya kerana ketiga-tiga ketulan ini tidak berbahaya disebabkan diameternya masih kecil.

"Ia mungkin berpunca daripada hormon tidak betul dan lump ini memang akan ada menjelang waktu datang haid.

"Doktor minta saya datang buat pemeriksaan lagi dalam tempoh enam bulan akan datang," jelas Intan.

Sebahagian perkongsian Intan yang mendapat maklum balas daripada netizen.

Menurut Intan, dia terus berkongsi pengalamannya ini di Twitter dan maklum balas daripada netizen amat mengejutkan dirinya.

"Ya ramai orang mengalami situasi yang sama dan berkongsi cerita mereka, manakala ada yang DM (direct message) beritahu mereka malu untuk memberitahu ibu bapa sendiri atau berkongsi mengenainya.

"Bagi saya, kalau melibatkan perkara seperti ini, jangan ada perasaan segan atau malu. Paling penting pergi buat pemeriksaan.

"Jangan disimpan kerana sesiapa yang ada ketulan ini, saiznya berbeza-beza. Malah ada kemungkinan ia semakin membesar, atau kekal di situ dan ada juga yang mengecil.

"Jadi saya berkongsi nasihat kepada semua wanita supaya jangan ambil remeh dengan perkara-perkara begini.

"Saya sudah mengalaminya dan tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan takut ini," jelas ibu kepada dua anak ini. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Cyst, Lump, ketulan, payudara

Artikel Lain