Mak guard tinggalkan kerja demi suami, bimbang peristiwa ‘jantung terhenti 7 minit’ berulang -“Setiap hari saya cakap dengannya walau tiada reaksi” - Viral | mStar

Mak guard tinggalkan kerja demi suami, bimbang peristiwa ‘jantung terhenti 7 minit’ berulang -“Setiap hari saya cakap dengannya walau tiada reaksi”

Nor Diana tetap berharap suaminya akan sembuh.

TIADA istilah putus asa bagi wanita ini biarpun suami kesayangannya terlantar sakit sejak 2017.

Lebih perit bagi Nor Diana Liza Hashim, 35, apabila suaminya, Radin Abu Bakar bukan sahaja terlantar tetapi langsung tidak boleh bercakap.

Menurut Nor Diana Liza suaminya yang berusia 38 tahun ini menghidap penyakit radang paru-paru sejak berusia 14 tahun, namun keadaannya semakin serius lebih setahun yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lumpuh, ibu 2 anak lega dapat kaki baharu Ramadan ini

ARTIKEL BERKAITAN: Disuruh balik awal kerana anak sakit, guru tunggu suami pulang, lain yang ‘datang’... “Rupa-rupanya di sini pengakhirannya”

Jauh di sudut hati wanita ini, dia bimbang jantung suaminya terhenti lagi.

Suami Nor Diana terlantar sakit sejak September 2017.

"Sebelum ini jantung suami pernah terhenti selama tujuh minit yang menyebabkan dua sarafnya tidak berfungsi. Doktor memang tidak beri apa-apa harapan dan mereka suruh teruskan buat pemeriksaan sahaja.

"Perkara itulah yang membuatkan saya paling takut. Tetapi saya setiap hari cuba menjaganya sebaik mungkin. Setiap hari juga saya bercakap dengannya walaupun sedar tidak ada sebarang reaksi daripadanya.

"Memang sedih dengan dugaan ini, tetapi realitinya saya perlu hadapi dengan baik dan tetap menaruh harapan agar suami ada perubahan positif," kongsinya kepada mStar.

Setiap hari juga saya bercakap dengannya walaupun sedar tidak ada sebarang reaksi daripadanya.

NOR DIANA LIZA HASHIM

Isteri Radin Abu Bakar

Menurut Nor Diana, hidupnya agak sukar selepas suaminya jatuh sakit dan selepas dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak empat bulan lalu.

"Saya tak ada pilihan lain selain berhenti kerja kerana tiada orang yang boleh jaga dua orang anak saya yang berusia sembilan dan sebelas tahun.Dan dalam masa sama saya juga perlu memantau keadaan suami yang perlu diberi susu khas setiap empat jam sehari.

"Tetapi bulan ini bantuan JKM agak lewat terima, memaksa saya untuk meminta bantuan dengan warga Facebook.

"Memang saya malu untuk meminta, seolah-olah seperti peminta sedekah, tetapi keadaan sangat terdesak untuk membeli keperluan suami.

Radin mengalami asma sejak berusia 14 tahun.

"Saya cuba sedaya yang mampu," demikian luah ibu kepada dua orang anak ini.

Berkongsi saat manis bersama suaminya, Nor Diana memberitahu Radin seorang yang suka membantu orang lain.

"Saya paling rindu gurauannya yang suka menyakat saya dan anak-anak. Namun semua itu kini sudah tidak kedengaran lagi.

"Saat itulah yang paling saya rindu. Walaupun begitu, saya tahu Radin seorang yang kuat dan mampu bertahan dengan penyakitnya ini.

"Sepanjang menjaganya, dia tidak banyak kerenah dan walaupun dalam keadaan terlantar dan tidak boleh bercakap, dia faham kesukaran saya," luahnya yang tinggal di Batu Pahat ini.

Suami , sakit , asma , jantung terhenti

Artikel Lain