Hantar makanan letak dalam plastik sampah kemudian ‘lesap’ , penyumbang dianggap tiada adab, rendahkan maruah anak tahfiz! - Viral | mStar

Hantar makanan letak dalam plastik sampah kemudian ‘lesap’ , penyumbang dianggap tiada adab, rendahkan maruah anak tahfiz!

Dua bungkusan plastik sampah yang mengandungi nasi minyak dan ayam masak merah. Foto ihsan Zakiyatul Nisa Martias

LULUH hati seorang ibu saudara apabila melihat gambar dua bungkusan plastik sampah berwarna hitam di pusat tahfiz tempat anak-anak buahnya belajar.

Lebih sayu apabila dua bungkusan plastik sampah itu mengandungi nasi minyak dan ayam masak merah, dipercayai sumbangan untuk pelajar-pelajar di pusat tahfiz itu.

Menerusi sekeping gambar yang kini tular di media sosial, turut kelihatan sebiji mangkuk yang telah diisi dengan nasi minyak di atas meja.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah ‘missed’ datang surau, “Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil...”

Wanita berkenaan, Zakiyatul Nisa Martias berkata, dia baru berkongsi luahannya berhubung insiden yang berlaku pada 14 September lalu di halaman komuniti di Facebook sebelum ia menjadi tular.

Nasi minyak yang diletakkan di dalam plastik sampah.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, gambar tersebut dikongsikan oleh salah seorang tenaga pengajar di pusat tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur, menerusi aplikasi grup WhatsApp.

“Sedih apabila tengok gambar tu, bayangkan saya sebagai ibu saudara yang turut sama membesarkan dua anak buah saya dari kecil, apatah lagi ibu mereka iaitu kakak saya dan ibu bapa pelajar-pelajar lain.

“Tergamak orang yang sedekahkan nasi minyak dan ayam masak merah tu letak dalam plastik sampah untuk anak-anak tahfiz. Perasaan saya bercampur baur... kecewa, sedih dan marah,” katanya kepada mStar.

Zakiyatul berkata, guru tersebut memberitahu penyumbang makanan itu tidak diketahui identitinya kerana ia diletakkan di sebuah meja, dan hanya menyedarinya apabila seorang pelajar meminta izin untuk memakannya.

Sebiji mangkuk yang mengandungi nasi nyaris dimakan salah seorang pelajar tahfiz.

Tambahnya, guru tersebut bagaimanapun melarang semua pelajar memakannya kerana dikhuatiri tidak elok dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan mereka.

“Tak tahu siapa yang hantar makanan tu. Penyumbangnya masih lagi menjadi misteri. Tapi ustaz tak benarkan pelajar-pelajar makan sebab nanti takut anak-anak tahfiz sakit perut dan cirit-birit.

“Saya lebih bimbang kalau orang yang sedekahkan tu ada niat yang tidak baik seperti guna sihir yang boleh beri kesan buruk kepada pelajar-pelajar,” katanya yang menetap di Taman Setapak, Kuala Lumpur.

Sedangkan golongan gelandangan di tepi jalan pun orang bagi sumbangan dengan cara lebih berhormat bagi dalam bekas makanan, yang ini kejam bagi dalam plastik sampah.

ZAKIYATUL

Dengan nada kesal, Zakiyatul tidak menyangka masih ada segelintir individu yang mempunyai mentaliti yang tidak sensitif dalam memberi sumbangan kepada orang lain.

“Pelajar-pelajar tahfiz ni bukan daripada golongan asnaf, dan kalau mereka asnaf sekalipun... adalah tidak wajar diperlakukan sebegitu sampai merendahkan maruah anak-anak.

“Sedangkan golongan gelandangan di tepi jalan pun orang bagi sumbangan dengan cara lebih hormat bagi dalam bekas makanan, yang ini kejam bagi dalam plastik sampah.

“Mana adab sedekah? Tak kisahlah nak derma apa, tapi jangan fikir sebab bagi kat anak-anak, adab diperlekehkan. Ingat asal makanan je budak-budak suka?” ujarnya sambil menambah dua anak saudaranya yang belajar di pusat tahfiz itu, masing-masing berusia 15 dan 12 tahun.

Komen-komen netizen.

Walaupun niat penyumbang itu mungkin baik mahu memberi sumbangan, tetapi kata Zakiyatul, mereka seharusnya ingat bahawa setiap apa yang dimakan itu menjadi darah daging.

“Anak-anak tahfiz belajar al-Quran dan mereka akan mendoakan anda kerana memberi sumbangan kepada mereka. Siapapun penerimanya, sebagai penyumbang anda perlu ada adab dan sikap hormat.

“Saya sebak apabila anak buah saya yang kecil kata, ‘takkan nak makan nasi yang dalam plastik sampah?’. Anak-anak kecil ni pun ada akal dan fikiran yang waras,” katanya. 

sedekah , plastik sampah , tahfiz , asnaf , gelandangan

Artikel Lain