suria

“Denyutan jantung bagaikan terhenti” - Bapa sakit kanser diam-diam setuju jadi responden ujian kemoterapi... anak akhirnya temui jawapan

Vanessa berkongsi kenangan mengenai mendiang bapanya yang menghidap kanser usus besar tahap empat. Foto ihsan Vanessa Julan Jaya

MELIHAT insan tersayang yang menghidap kanser menjalani rawatan kemoterapi bukan sesuatu yang mudah, kerana dia cuba untuk melawan penyakit itu.

Begitu yang dialami oleh seorang anak yang berkongsi pengalamannya mengenai mendiang bapanya yang ketika itu menghidap kanser tahap empat.

ARTIKEL BERKAITAN: Status Whatsapp bapa selepas pemergian isteri akibat kanser undang hiba, “Ayah susah nak menangis, tapi masa baca doa... suaranya sebak tersekat-sekat”

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

“Mendiang ayah saya didiagnosis dengan kanser tahap empat. Selepas beberapa pusingan rawatan kemoterapi, doktor yang merawat ayah bertanya sekiranya dia mahu menjadi responden untuk kajian mereka mengenai kemoterapi baharu.

Perkongsian Vanessa mengenai mendiang bapanya mengundang sayu dalam kalangan netizen.

“Doktor memberikannya satu dokumen yang menyatakan kesan sampingan akibat kemoterapi tersebut dan ia sekadar kajian,” menurut perkongsiannya di laman sosial sehingga menjadi tular.

Bercakap kepada mStar, Vanessa Julan Jaya, 24, berkata, ia berlaku pada 2015, kira-kira setahun sebelum bapanya, Dennis Ngang Jaya meninggal dunia pada 16 Januari 2016 ketika umurnya 60 tahun akibat kanser usus besar.

Sebagai anak bongsu, Vanessa begitu rapat dengan bapanya.

Vanessa yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, sebagai anak bongsu daripada enam beradik sememangnya begitu rapat dengan bapanya.

“Ketika itu saya menjalani latihan praktikal dan sering menjaga ayah. Bila dapat tahu mengenai kajian kemoterapi tu di hospital, memang saya tentang habis-habisan.

“Saya tak mahu tengok ayah sengsara. Melihatkan keadaannya yang cuba melawan penyakit kanser pun buat saya sedih, apatah lagi mahu mencuba sesuatu yang baharu dan masih di peringkat kajian,” katanya yang kini merupakan eksekutif kesihatan dan keselamatan.

Vanessa berkata, antara kesan sampingan kemoterapi ‘baharu’ berkenaan seperti keguguran rambut, sakit perut dan berisiko mengalami kerosakan hati menyebabkan dia menyarankan kepada bapanya supaya meneruskan kemoterapi yang dilakukannya seperti sebelum itu. 

Vanessa menyifatkan mendiang bapanya sebagai seorang yang peramah, kelakar dan penyayang.

Dia yang menjalani latihan praktikal dalam bidang kesihatan ketika itu terkejut apabila bapanya mengambil keputusan untuk bersetuju menjalani kemoterapi yang baharu itu.

“Sudah tentu masa tu saya marah dan kecewa. Tapi, saya tahu bapa saya seorang yang kuat agama, jadi dia akan melakukan sesuatu untuk memperoleh keberkatan.

Saya amat berbangga dengan ayah kerana sanggup mendahului orang lain berbanding dirinya sendiri, meskipun dia sendiri menderita.

VANESSA

“Denyutan jantung saya bagaikan berhenti. Bukan saya tak nasihatkan ayah, malah melarangnya juga. Tapi, ayah teruskan juga buat kemoterapi tu.

“Kerana sayangkannya, saya mahukan jawapan kenapa dia mengambil keputusan yang mengejutkan itu,” katanya yang menyifatkan bapanya seorang yang peramah, kelakar dan penyayang serta amat mementingkan pendidikan anak-anaknya.

Sambutan hari jadi yang terakhir ketika umur 59 tahun pada 27 Jun 2015.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan bapanya amat mengejutkan sehingga membuatkan dia cuba menyelami hati dan perasaan bapanya, berbanding diri sendiri.

“Bapa kata dia mahu tahu sekiranya kemoterapi baharu itu berhasil. Jika ia berjaya, dia akan menjadi bukti hidup yang ada bahawa terdapat ubat untuk merawati kanser.

“Kata ayah lagi, jika tidak berjaya, tak mengapalah bagi dia untuk berkorban bagi membuktikan bahawa doktor perlu melakukan yang lebih baik. Ayah kata, ‘saya tak mahu orang lain mati’, perasaan saya bercampur baur ketika itu,” ujar Vanessa sambil menambah bahawa ibunya merupakan bekas pesakit kanser lidah. 

KENANGAN... Vanessa bersama ibunya dan mendiang bapa.

Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat itu, dalam keadaan yang sayu, Vanessa bagaimanapun berasa bangga dengan bapanya.

“Saya sendiri melihat kesan sampingan akibat kemoterapi ‘kajian’ itu, badan dan kulit ayah sakit-sakit dan bengkak macam kena gigit nyamuk.

“Kemoterapi yang dijalani ayah bagaimanapun tidak berhasil. Tapi saya amat berbangga dengan ayah kerana sanggup mendahului orang lain berbanding dirinya sendiri, meskipun dia sendiri menderita.

“Dan disebabkan kemoterapi itu juga, ayah sentiasa teringin makan wafer bersama madu dan minum teh bunga, dan kini hidangan istimewa ini pengubat rindu saya pada ayah selain lagu-lagu kegemarannya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain