suria

Status Whatsapp bapa selepas pemergian isteri akibat kanser undang hiba, “Ayah susah nak menangis, tapi masa baca doa... suaranya sebak tersekat-sekat”

Seorang bapa meluahkan kerinduannya terhadap arwah isteri menerusi status Whatsapp. Foto ihsan Ahmad Amir Nashruddin Rahimi

KEHILANGAN orang tersayang terutama ibu, isteri atau anak pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

Perkongsian seorang pemuda mengenai luahan bapanya terhadap isteri tercinta yang dijemput Ilahi akibat penyakit kanser begitu menyentuh emosi.

“Baru tersedar dari mimpi. Rupa-rupanya tangan kiri sudah tiada, tulang rusuk telah hilang, kaki kiri tercabut.

“Bidadariku, ini tentang sebuah harapan. Harapan untuk bahagian di dunia dan akhirat. Harapan yang menjadi doa bertubi-tubi tanpa lelah dariku,” antara status di aplikasi Whatsapp bapa pemuda itu yang dikongsinya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak

Pemuda berkenaan, Ahmad Amir Nashruddin Rahimi berkata, ibunya, Allahyarham Zalina Mohammad, 51, menghembuskan nafas terakhir pada 3 Julai lalu, akibat penyakit kanser tisu yang dihidapinya sejak 2017.

Perkongsian Nashr di laman sosial mengenai status Whatsapp bapanya.

Lebih mesra dengan panggilan Nashr, pemuda berusia 28 tahun itu memberitahu status Whatsapp bapanya, Rahimi Yaacob, 55, mengenai cinta sejati terhadap ibunya, sekali gus membuatkan dirinya terharu dan sebak. 

“Ayah tenang dan bersahaja. Dia tidak menzahirkannya di hadapan kami. Sentiasa senyum dan keadaanya baik-baik sahaja.

“Walaupun seorang bapa itu dilihat bersahaja dan tenang, mereka sebenarnya prihatin kepada keluarga, cuma tidak menggambarkan perkara tersebut melalui lisan, dan meluahkannya melalui tingkah laku dan akhlak mereka,” katanya kepada mStar.

Bapa Nashr, Rahmi merupakan seorang yang tenang dan bertanggungjawab.

Nashr yang masih menuntut dalam jurusan bahasa Arab di Universiti Al-Azhar di Mesir berkata, bapanya yang menjaga ibu sehingga akhir hayatnya.

Kami reda dengan ketentuan Ilahi. Air mata kami tetap mengalir, tapi bukan tidak reda dengan takdir, tapi air mata hiba berpisahnya dengan ibu tercinta

NASHR

Pemuda yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berbangga dengan bapanya yang mengajarnya erti kesetiaan dan ketenangan dalam menghadapi segala ujian.

“Sebagaimana ayah menjalankan tanggungjawabnya kepada ibunya dahulu iaitu arwah nenek, begitu juga tanggungjawabnya kepada isteri iaitu arwah ibu. Tiada istilah penat pada baktimu itu.

“Saya masih ingat waktu kecil dulu apabila nenek sakit, cepat-cepat ayah pulang ke kampung. Tidak kira masa walaupun pukul 3 atau 4 pagi.

“Begitulah bakti dan khidmat yang ayah tunjukkan kepada kami adik-beradik. Ayah ajar kami melalui praktikal realiti hidup,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Luahan seorang bapa menerusi status Whatsapp yang menyentuh emosi.

Nashr berkata, bapanya tetap tenang, tiada titisan air mata mahupun kesedihan di wajahnya sehingga di saat akhir hayat ibunya.

“Kami reda dengan ketentuan Ilahi. Air mata kami tetap mengalir, tapi bukan tidak reda dengan takdir, tapi air mata hiba berpisahnya dengan ibu tercinta,” katanya.

Menggambarkan bapanya seorang yang tegas, peramah dan suka bergurau senda, dia mengakui tidak pernah melihat bapanya mengalirkan air matanya.

“Ayah susah nak menangis. Tapi ada suatu hari  emosinya diluahkan selepas solat berjemaah semasa ayah menjadi imam.

“Semasa ayah membaca doa, ketika itu lah kali pertama saya mendengar suara ayah sebak tersekat-sekat keluar dari mulutnya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kanser, Whatsapp, meninggal, ibu, ayah

Artikel Lain