suria

Terkejut ayah caj RM300 untuk 3 tugasan, gadis ini anggap dalam garang si bapa ada lucunya - “Pertama kali lihat ayah menangis bila saya disahkan sakit jantung berlubang”

Nur Fatihah Mohamad sering merujuk bapanya, Mohamad Kamari ketika melakukan tugasan di universitinya.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada tandingnya.

Begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kisah seorang gadis bernama Nur Fatihah Mohamad.

Beberapa hari lalu gadis berusia 21 tahun ini memuat naik tangkapan skrin (screenshot) perbualan bersama ayahnya menerusi aplikasi Whatsapp di laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan terbantut! Tayar kereta cikgu terbenam ketika jemput calon UPSR ke sekolah... tindakan guru besar tak disangka-sangka! 

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan berat siswi tahun akhir, bapa disahkan kanser, beban belanja buat gadis ini resah... “Ayah perlu minum susu 6 kali sehari” 

Menerusi perbualan tersebut, Nur Fatihah atau lebih mesra disapa Teha meminta bantuan ayahnya berkenaan tugasan atau assignment yang perlu disiapkan.

Apa yang lucu, tindakan ayahnya mengenakan upah untuk tugasan berkenaan mengundang rasa lucu netizen.

Tangkapan skrin (screenshot) perbualan antara Nur Fatihah dan bapanya mengundang rasa lucu netizen.

“Ayah saya seorang guru dan pada masa sama dia juga berniaga. Jadi saya meminta bantuannya memandangkan tugasan saya subjek pengurusan.

“Tak sangka dia balas macam itu, siap tawar diskaun lagi,” ceritanya kepada mStar.

Menurut Nur Fatihah, ayahnya, Mohamad Kamari, 55 yang memang agak garang itu adalah guru disiplin di sekolah dia bertugas.

“Dalam garang dan tegasnya, dia sebenarnya sangat lucu, mengambil berat dan penyayang,” katanya.

Ketika berusia 14 tahun, saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan itulah kali pertama saya lihat ayah menangis 

NUR FATIHAH MOHAMAD

Ujar penuntut jurusan Pengurusan di Open University Malaysia (OUM) ini, lazimnya tugasan akan dilakukannya sendiri namun dek kekangan masa kerana bekerja, dia mencuba nasib untuk meminta bantuan bapanya.

“Saya memang banyak rujuk ayah. Sebenarnya, sebelum ini saya belajar bahagian elektrikal untuk peringkat diploma. Ketika melanjutkan pengajian peringkat ijazah awal tahun ini, saya ikut kata ayah yang sudah lama mahukan saya ambil bidang pengurusan,” katanya.

Cerita anak bongsu daripada tiga beradik ini, langkahnya menukar jurusan kali ini adalah salah satu cara untuk membalas jasa dan membuktikan rasa kasih kepada ayahnya.

Nur Fatihah bersama ibu dan bapanya.

“Ketika berusia 14 tahun, saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan itulah kali pertama saya lihat ayah menangis dan tahun lalu pada bulan Jun, saya selamat dibedah.

“Ketika dalam keadaan sakit selepas operation, ayahlah orang yang setia menjaga saya, angkat pergi bilik air, bergegas dapatkan doktor masa saya tak tahan sakit… pendek kata ayah yang paling risau.

“Masa itu saya sedar kasih ayah pada anaknya memang tiada taranya,” katanya.

Tambah Nur Fatihah lagi, dirinya berasa sangat bersyukur kerana dipanjangkan usia dan diberi peluang untuk menunaikan hajat ayahnya.

“Dulu saya degil tak mahu ikut cakapnya. Sekarang bila dah besar, rasa lega dapat tunaikan hajatnya.

“Cuma rasa sedih sebab tinggal berjauhan dan kurang luangkan masa bersamanya. Jika tak berjumpa, hanya berhubung melalui telefon atau Whatsapp.

“Pada anak di luar sana, walau sesibuk mana pun anda, keraplah hubungi mereka,” akhirinya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bapa, tugasan, cas, Nur Fatihah Mohamad

Artikel Lain