suria

Kecoh batang bendera panjang, Jalur Gemilang ciput, yang pasti semangat pelajar ini dipuji, “Bukan buat ‘joke’, saya tak main-main”

Seorang pemuda mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz kecil menggunakan batang besi bersaiz panjang menjadi tular di media sosial.

SEJAK akhir-akhir ini hangat diperkatakan mengenai gambar dan video Jalur Gemilang terbalik sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Sama ada insiden berlaku secara sengaja atau tidak, dan yang sudah lama tular sebelum ini, ia tidak seharusnya berlaku.

Dalam kehangatan insiden yang melampau itu, tular sebuah video menunjukkan sekumpulan pelajar menyanyikan lagu Jalur Gemilang, sambil mengibarkan beberapa bendera berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabik! Anggota tentera kutip Jalur Gemilang di tepi jalan undang sebak, “Terima kasih pahlawan”

Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah salah seorang pelajar mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz kecil yang dipasang pada batang besi  besar.

Muhammad Aqmal bersama rakan-rakannya mengibarkan Jalur Gemilang. Foto ihsan Muhammad Aqmal Jamil

“Saiz tidak penting,” menurut pengguna Twitter @khailahkot yang memuat naik video tersebut sehingga menjadi tular dan mendapat pelbagai komen positif dan pujian netizen.

“Batangnya besar aku hampir tak nampak bendera dia. Hahaha semangat bagus,” puji seorang netizen.

Komen dan pujian netizen.

“Janji kibar dan bersemangat,” tulis seorang netizen.

“Yang penting jangan terbalik,” komen seorang netizen yang lain.

Pelajar berkenaan, Muhammad Aqmal Jamil berkata, rakaman dibuat semasa program orientasi pelajar baharu pada Isnin lalu di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di Bestari Jaya, Selangor dan dia merupakan salah seorang fasilitator.

Pelajar-pelajar bersemangat membawa Jalur Gemilang.

Muhammad Aqmal yang berusia 24 tahun itu memberitahu, dia turut menyertai acara menyanyikan lagu Jalur Gemilang beramai-ramai sambil mengibarkan bendera.

“Bagaimanapun, kami kekurangan Jalur Gemilang bersaiz besar untuk dikibarkan semasa membuat persembahan malam itu. Pada masa sama, tak sempat nak buat persiapan lain.

“Tapi setiap fasilitator diberikan satu Jalur Gemilang yang bersaiz tapak tangan. Disebabkan tak cukup Jalur Gemilang bersaiz besar, bendera saiz kecil pun boleh,” katanya kepada mStar.


Muhammad Aqmal Jamil.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia itu berkata, secara kebetulan terdapat lebihan batang besi untuk diikat Jalur Gemilang menggunakan getah.

“Bukan saya nak buat joke, saya pun tak sangka ia menjadi perhatian sehingga tular. Saya bukannya main-main.

Saya sebenarnya nak tunjuk walaupun Jalur Gemilang tu kecil, tetapi ia perlu diletakkan atau dikibarkan pada tempat yang sepatutnya.

MUHAMMAD AQMAL

“Saya sebenarnya nak tunjuk walaupun Jalur Gemilang tu kecil, tetapi ia perlu diletakkan atau dikibarkan pada tempat yang sepatutnya.

“Saya boleh saja kibarkan Jalur Gemilang guna tangan, tapi sebab bendera lain lebih besar jadi saya perlu pastikan Jalur Gemilang yang kecil ini dikibarkan lebih tinggi,” ujar Muhammad Aqmal yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu.

Majlis sempena program orientasi pelajar baharu di Unisel kampus Bestari Jaya.

Bagi Muhammad Aqmal yang berasal dari Senai, Johor itu, semangat patriotisme perlu ada dalam diri setiap pelajar, tanpa mengira kecil atau besar Jalur Gemilang itu. 

“Walaupun Jalur Gemilang itu kecil, tapi semangat mengibarkannya adalah besar. Sebagai pelajar, kita juga perlu peka dengan isu semasa.

“Contohnya isu Jalur Gemilang terbalik, pelajar-pelajar jangan biarkan saja, tapi sebaliknya tunjuk kepada Malaysia bahawa semangat patriotisme mereka begitu waja dengan cara yang baik dan tidak keterlaluan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Jalur Gemilang, bendera, Unisel

Artikel Lain