suria

“Ada masa sampai dua minggu tak laku” - Nak tolong orang lain, lelaki ini ‘hilang’ satu kaki... anak pula ada tumor

Sabrie bersama salah seorang anaknya.

DILAHIRKAN normal, namun takdir menentukan lelaki ini berdepan dugaan apabila kehilangan anggota badannya dalam kemalangan.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang juga bapa kepada tiga cahaya mata.

Kisah mengenai kegigihan Mohd Sabrie Mohamad Ibrahim, 30, yang berniaga ikan terubuk masin dan popia secara dalam talian menjadi tular di laman Twitter sejak Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Sabrie memulakan perniagaan itu sejak kehilangan kakinya akibat terbabit dalam kemalangan sekitar empat tahun lalu.

Posting mengenai Sabrie yang tular di Twitter.

"Saya kehilangan sebelah kaki dalam satu kemalangan pada 2015 akibat dilanggar sebuah lori tiga tan dari arah belakang, masa tu nak tolong seseorang, tayar keretanya bocor. 

"Dalam keadaan terhad macam ni, saya berniaga sahaja, mula-mula dulu saya jual rempeyek.

Ikan terubuk masin yang dijual oleh Sabrie.

"Ada modal sikit-sikit, jual ikan terubuk masin, juga popia nestum yang dibuat isteri. Semuanya dibuat bersama dengan isteri, dia juga kena jaga saya sebab kesihatan tak menentu," ujarnya sewaktu dihubungi pada Ahad.

Tak sempat kat dunia, Allah bagi di akhirat. Saya kena kuat cari bekalan untuk anak-anak, tak tahu bila ajal.

MOHD SABRIE MOHAMAD IBRAHIM

Menurut Sabrie lagi, dia mendirikan rumah tangga dengan Norayati Gusni, 27, kira-kira enam tahun lalu dan hingga kini memiliki tiga cahaya mata perempuan.

Menambahkan lagi pilu dalam keluarganya, anak kedua, Nur Anisa Insyirah yang berusia dua tahun baru sahaja menjalani pembedahan membuang tumor di kepala.

Foto Sabrie sekeluarga.

Mengakui sedih, Sabrie bagaimanapun tabah dan gigih berusaha demi memberi kehidupan yang terbaik untuk anak-anaknya.

"Sedih memang sedih, tapi Allah dah janji dalam al-Quran. Kalau kita taat perintah Allah, jaga solat, insyaAllah ada ganjaran.

"Tak sempat kat dunia, Allah bagi di akhirat. Saya kena kuat cari bekalan untuk anak-anak, tak tahu bila ajal.

Anak keduanya yang menjalani pembedahan baru-baru ini.

"Ada masanya perniagaan tak laku, sampai dua minggu tak laku. Kekuatan saya adalah anak-anak dan janji Allah," ujarnya dalam nada sebak.

Sabrie sekeluarga yang menerap di Miri, Sarawak turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan.

Bagi sesiapa yang mahu membantu atau membeli produk makanan Sabrie, dia boleh dihubungi menerusi talian 012-8087457.

Dalam pada itu, posting mengenai kisah Sabrie yang dikongsi seorang pemuda di Twitter menerima lebih 12,300 perkongsian.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain