Tutup kedai makan, pergi tarawih: Nik Abduh, Annuar Musa minta tarik balik arahan

Arahan penutupan kedai makan atau restoran di seluruh Kelantan berkuatkuasa pada Isnin.

SEPANJANG bulan Ramadan ini, semua kedai makan dan restoran di Kelantan diarahkan supaya menghentikan sementara operasi mereka selama satu jam setengah setiap malam.

Menurut satu surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan yang tersebar di media sosial sejak pagi Selasa, penutupan tersebut bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam berkuatkuasa pada Isnin.

Pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin turut memaklumkan arahan itu dikeluarkan bagi menghormati bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertembungan 'team 20 rakaat dan 8 rakaat'... Ramai puji langkah bijak Masjid Wilayah Persekutuan!

Malah kerajaan Kelantan juga mahu menggalakkan umat Islam di negeri itu untuk menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

"Sehubungan dengan itu, semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan diminta supaya mengeluarkan arahan berkenaan kepada semua pengusaha kedai makan atau restoran di kawasan masing-masing.

"Arahan ini berkuatkuasa dengan serta-merta," kata Adnan.

Arahan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang mahu kerajaan negeri menarik balik surat pekeliling yang dikeluarkan pada Isnin.

Nik Abduh menerusi hantaran Facebooknya berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula arahan tersebut.

Surat pekeliling mengenai arahan tersebut menjadi tular sejak Isnin.

“Saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik. Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang.

“Pada bulan kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Ibadat tarawih adalah sunat dan tidak semestinya dilakukan antara pukul 8.30 malam hingga 10 malam.

TAN SRI ANNUAR MUSA

Ahli Parlimen Ketereh.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut bersependapat dengan Nik Muhammad Abdul.

Beliau berkata arahan tersebut tidak perlu dikuatkuasakan dan patut dikaji semula.

"Ia bukan saja menimbulkan kerumitan dan masalah kepada para peniaga tapi ianya juga tidak mempunyai asas yang kukuh.

"Ibadat tarawih adalah sunat dan tidak semestinya dilakukan antara pukul 8.30 malam hingga 10 malam," katanya.

Jelas Annuar, restoran atau kedai makan di Makkah dan Madinah tidak ditutup sewaktu jemaah melakukan solat sunat tarawih atau Qiamullail.

"Keperluan masyarakat untuk makan di sebelah malam pula berbagai-bagai mengikut keselesaan masing-masing.

"Saya percaya pihak pentadbiran Kelantan bersedia mengkaji semula perkara ini. Wallahu a'lam," katanya dalam satu posting di Facebook pada Selasa.

Artikel Lain