“Nak edit bogel” - Pelajar panik terima 7 keping gambar sendiri selepas dapat foto 'ngeri' orang lain - Viral | mStar

“Nak edit bogel” - Pelajar panik terima 7 keping gambar sendiri selepas dapat foto 'ngeri' orang lain

Siti Aishah turut berkongsi paparan skrin mesej lelaki tersebut di Twitternya. Foto ihsan Siti Aishah Abdullah.

SEORANG gadis berusia 22 tahun trauma selepas beberapa keping gambar profilnya di aplikasi Telegram dicuri seorang lelaki tidak dikenali.

Lebih memeranjatkan lelaki itu mengugut untuk menyebar dan menyunting gambar profilnya itu menjadi gambar bogel.

Susulan itu, mangsa Siti Aishah Abdullah berkongsi pengalaman dilaluinya itu menerusi satu posting di Twitternya baru-baru ini.

Perkongsian itu menarik perhatian netizen sehingga mendapat 3,555 ulang kicau (retweet) dan 1,068 tanda suka (like).

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah cikgu 'gatal' curi gambar, perkenal dirinya sebagai pelacur di grup porno

ARTIKEL BERKAITAN: Dua hari tak tidur malam, cikgu 'gatal' jawab dakwaan curi, sebar gambar gadis di grup porno

ARTIKEL BERKAITAN: Kena 'game' dengan pesakit kanser, scammer kurang cerdik hanya dapat RM1 dalam akaun

Menerusi posting tersebut, Siti Aishah turut memuatnaik paparan skrin mesej bahasa Inggeris lelaki tersebut yang dikenali sebagai Yew Wai.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Siti Aishah berkata dia tiba-tiba mendapat panggilan daripada individu tersebut kira-kira pukul 3 pagi, 15 April lalu tetapi tidak mengendahkannya kerana tidak mengenali pemanggil berkenaan.

Posting Siti Aishah tular di Twitter.

Barangkali bengang kerana panggilan tidak berjawab, gadis berasal dari Batu Pahat, Johor itu memberitahu lelaki tersebut bertindak menghantar mesej berbaur ugutan kepadanya pada keesokan paginya.

“Dia 'search' nama saya di Telegram secara 'random'. Kemudian dia telefon saya pukul 3 pagi. Memandangkan saya tak kenal nombor itu jadi saya biarkan saja.

"Tapi tak sangka lepas tu saya terima mesej daripada dia yang mengugut untuk edit gambar dari profil di Telegram saya kepada gambar bogel," katanya.

Ada tujuh gambar tak silap sebab semua gambar profil tu saya guna dah lama. Semua tu gambar biasa. Dia hantar dan tanya tu gambar saya ke? Dia kata nak edit 'naked' (bogel).

SITI AISHAH ABDULLAH

Penuntut IPTA.

Siti Aishah berkata lelaki itu menghantar semula kesemua tujuh keping gambar yang pernah dijadikan gambar profilnya di Telegram kepadanya menerusi aplikasi penghantaran mesej tersebut.

“Ada tujuh gambar tak silap sebab semua gambar profil tu saya guna dah lama. Semua tu gambar biasa. Dia hantar dan tanya tu gambar saya ke? Dia kata nak edit 'naked' (bogel).

“Saya pun terus padam sebab takut dia edit. Dia ada chat tapi saya tak reply. Dia pun ada hantar gambar orang lain yang dia dah edit tapi saya dah padam, ngeri nak tengok,” katanya.

Siti Aishah turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada malam 15 April lalu. Foto ihsan Siti Aishah Abdullah.

Susulan itu, Siti Aishah yang masih menuntut di sebuah universiti di Sabah nekad menyebarkan perlakuan individu tidak bertanggungjawab itu di Twitter.

“Saya panik sebab pertama kali kena macam ni. Saya pun viralkan di Facebook, WhatsApp dan Twitter. Lepas tu saya pun buat laporan polis.

“Polis minta saya supaya block nombor tersebut. Mereka kata kalau dia sebarkan juga gambar saya, mereka minta saya datang semula untuk siasatan selanjutnya,” kata Siti Aishah.

Jelasnya lagi, dia tidak menduga beberapa gadis turut pernah menjadi mangsa individu serupa sebelum ini.

“Ada mangsa memberi respons kepada posting saya bahawa individu tersebut juga pernah mengganggunya sebelum ini.

“Saya pun terkejut. Tak sangka rupa-rupanya ramai lagi yang pernah melalui kes serupa yang dibuat bertujuan mengugut untuk mendapatkan wang,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah berkata dia terpanggil untuk membuat perkongsian tersebut kerana tidak mahu orang lain menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab itu.

Respons mangsa yang pernah diganggu individu tidak bertanggungjawab itu.

“Saya hanya ingin jadikan kisah yang saya lalui sebagai satu peringatan kepada orang ramai. Telegram ni bahaya, orang boleh suka hati mesej kita.

“Jadi saya nasihatkan supaya 'hide' gambar profil daripada orang tidak dikenali. Hanya tunjuk dekat contact saja. Kalau takut seeloknya tak payah letak gambar profil,” katanya yang turut memaklumkan insiden itu kepada ibu bapanya.

edit , gambar , Telegram , bogel