Dua hari tak tidur malam, cikgu ‘gatal’ jawab dakwaan curi, sebar gambar gadis di grup porno - Viral | mStar

Dua hari tak tidur malam, cikgu ‘gatal’ jawab dakwaan curi, sebar gambar gadis di grup porno

Saufi menjelaskan insiden yang berlaku hanya salah faham.

SELEPAS dikecam hebat netizen gara-gara mencuri gambar seorang gadis di media sosial, menyebarkannya dalam grup porno dan menggelarnya 'pelacur berbayar', seorang guru tampil menjelaskan perkara sebenar.

Tidak berpuas hati dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, guru berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Saufi mendedahkan insiden yang kini tular itu sebenarnya hanyalah satu salah faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah cikgu ‘gatal’ curi gambar, perkenal dirinya sebagai pelacur di grup porno

Pertama sekali, menurut guru berusia 33 tahun itu, keberadaannya di dalam kumpulan sembang pornografi aplikasi Telegram tersebut hanyalah untuk memantau senario yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat masa kini.

"Apa yang saya lihat pelajar-pelajar saya terlalu 'advanced' dalam benda-benda macam ni.

"Sebagai seorang yang bergelar guru, saya rasa terpanggil untuk memantau masalah sosial yang berlaku dalam group seperti itu.

"Bagaimanapun saya berasa terkilan kerana akhirnya berlaku salah faham melibatkan diri saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Saufi menjelaskan berlaku salah faham membabitkan dirinya dan wanita berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut Saufi berkata, ayat 'pelacur bayar admin' itu sebenarnya merujuk kepada perbualan sebelumnya antara beberapa individu di dalam kumpulan itu dan bukannya kapsyen bagi gambar berkenaan seperti yang disangka gadis berkenaan.

"Sebelum saya menghantar gambar itu, ada perbualan mengenai pelacur di dalam group berkenaan.

"Saya mengaku silap saya membalas perbualan itu dengan meletakkan gambar wanita itu hingga membuatkan ramai yang menyangka ia kapsyen untuk gambar tersebut.

"Lebih parah, apabila ada pihak yang cuba menambah-nambah cerita tak baik mengenai saya. Apapun, saya dengan hati terbuka memohon maaf kepadanya," katanya.

Dia bagaimanapun tidak memberikan alasan kukuh mengapa gambar tersebut dihantar ke grup tersebut.

Lebih parah, apabila ada pihak yang cuba menambah-nambah cerita tak baik mengenai saya. Apapun, saya dengan hati terbuka memohon maaf kepadanya

SAUFI

Ditanya lanjut mengenai gadis berkenaan, Saufi mendakwa tidak mengenalinya secara peribadi.

"Saya tak kenal dia dan tak pernah memberi apa-apa butiran mengenai wanita itu kepada sesiapa yang bertanya saya tentang dirinya.

"Ia group terbuka. Sesiapa sahaja boleh join tanpa ada sekatan umur," ujarnya.

Saufi yang terkilan dengan tindakan gadis itu berkata dia juga sempat memaki dan mengugutnya di Twitter.

"Apabila saya cuba nak jelaskan, dia 'block' saya.

"Dia tak mahu dengar penjelasan saya dan tiada komunikasi dua hala antara kami.

"Untuk makluman, saya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara ini," dakwanya lagi.

Saufi mendakwa dia tidak pernah mendedahkan sebarang butiran mengenai gadis berkenaan kepada mana-mana individu.

Selain itu, Saufi menjelaskan insiden yang berlaku turut menjejaskan hubungan dia dan keluarga hingga menyebabkan dia sukar tidur malam.

"Saya sangat terkilan perkara ini berlaku. Tindakan dia memviralkan muka saya membuatkan orang ramai menyerang dan mencaci maki sehingga emosi saya terganggu dan saya terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu kepada isteri saya.

"Sekalipun dia marah dia sepatutnya hubungi saya untuk dapatkan kepastian bukannya bertindak memviralkan muka saya. Keluarga terkejut dengan apa yang berlaku. Dua hari juga kami tak boleh tidur kerana memikirkan permasalahan ini.

"Khamis lalu saya ada bertemu dengan pihak sekolah bagi menjelaskan perkara sebenar dan saya dimaklumkan kes ini di luar bidang kuasa sekolah kerana tidak melibatkan mana-mana individu dalam sekolah," dia mendakwa.

Pada 11 Februari lalu mStar Online menyiarkan pendedahan seorang gadis yang berang apabila mendakwa seorang lelaki yang berkerja sebagai guru, mencuri beberapa keping gambarnya di media sosial dan kemudian menyebarkannya dalam kumpulan Matscandal di aplikasi Telegram.

Perkongsian gadis berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen yang marah dengan tindakan guru berkenaan yang turut menggelarnya pelacur kepada ahli kumpulan sembang tersebut.

pornografi , gambar , Serena , Muhammad Saufi