Anak bongsu Makcik Maimon sedia jaga ibu walau hidup susah di Batam, harap adik-beradik lain doa dan sokong - Viral | mStar

Anak bongsu Makcik Maimon sedia jaga ibu walau hidup susah di Batam, harap adik-beradik lain doa dan sokong

Abdul Aziz (gambar kecil) gembira dapat menjejaki ibunya semula.

RAYUAN dan rintihan seorang ibu yang berharap agar anak-anaknya dapat membawanya keluar dari pusat jagaan warga emas akhirnya membuahkan khabar gembira.

Anak bongsu Maimon Abdul Hamid, Abdul Aziz Jumali yang tinggal di Batam, Indonesia, tidak dapat menggambarkan perasaannya selepas menonton video tersebut kerana mendakwa dia telah lama mencari ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada perikemanusiaan seorang anak…” - Ibu derita, rayu dikeluarkan dari rumah orang tua-tua

"Selepas tengok video itu, saya rasa sedih kerana tidak tahu macam mana nak buat. Saya berterima kasih banyak kepada yang merakam video itu kerana membantu saya mencari ibu.

"Lebih empat tahun kami terpisah. Dulu, saya sempat bekerja selama setahun lebih di Malaysia sejak Ogos 2012 hingga 2014 dan selama tempoh itu, saya selalu berjumpa dengan ibu saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelasnya, dia cuba menjejaki ibunya selepas pulang ke Indonesia, namun terputus hubungan kerana nombor telefon wanita itu tidak lagi dapat dihubungi.

Abdul Aziz kini menetap di Tanjung Pinang, Batam dan bekerja di sebuah kilang pengedaran barang.

Menurut Abdul Aziz, dia dilahirkan di Indonesia dan dibesarkan oleh ibunya sehingga usia lapan tahun sebelum terpisah dan dijaga di rumah anak-anak yatim.

Ketika itu, Maimon terpaksa pulang ke Malaysia selepas suaminya meninggal dunia dan atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dia tidak dapat membawa Abdul Aziz untuk tinggal bersamanya.

Selepas tengok video itu, saya rasa sedih kerana tidak tahu macam mana nak buat. Saya berterima kasih banyak kepada yang merakam video itu kerana membantu saya mencari ibu.

ABDUL AZIZ

Pemuda berusia 25 tahun yang sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang anak itu berkata, kehidupannya di Indonesia juga serba kekurangan, namun dia nekad untuk menjaga sendiri ibunya selagi hayat dikandung badan.

"Saat ini, saya hanya berharap ibu saya dapat keluar dari Malaysia dan tinggal bersama saya di Indonesia.

"Cuma sekarang pasport saya sudah tamat tempoh dan menyukarkan saya untuk ke sana dan menjemput ibu saya," ujarnya.

Abdul Aziz (kanan) sedang berusaha untuk membawa ibunya, Maimon (kiri) tinggal bersamanya di Batam, Indonesia.

Tambah Abdul Aziz, dia memerlukan pertolongan daripada mana-mana pihak dari segi memudahkan urusannya menghidupkan semula pasport dan kos perjalanan membawa ibunya menetap di Batam.

Ketika ditanya tentang harapannya terhadap adik-beradik lain untuk menjaga ibu mereka, Abdul Aziz berkata: "Tiada harapan selain doa dan sokongan semua."

mStar Online pada Isnin melaporkan seorang wanita warga emas ingin mencari anak-anaknya kerana tidak mahu menghabiskan sisa hidupnya di pusat jagaan warga emas.

Posting video ibu berusia 67 tahun itu tular di Facebook selepas ia dimuat naik oleh seorang usahawan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Sri.

Menerusi video berdurasi 31 saat itu, Maimon merayu agar anaknya sudi membawanya tinggal bersama.

Maimon Abdul Hamid