Wanita dakwa nampak budak jatuh eskalator, Kenanga tampil jelas insiden sebenar! - Viral | mStar

Wanita dakwa nampak budak jatuh eskalator, Kenanga tampil jelas insiden sebenar!

Seorang wanita mendedahkan kanak-kanak terjatuh dari eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

INSIDEN kemalangan membabitkan kanak-kanak ketika menggunakan eskalator bukan perkara baharu terutama di pusat membeli-belah.

Malah media kerap melaporkan kejadian itu yang berpunca daripada kecuaian ibu bapa ketika menggunakan kemudahan terbabit.

Terbaharu pada Khamis, tular di media sosial selepas seorang wanita memuat naik status mendakwa seorang kanak-kanak tergelincir dari eskalator di sebuah kompleks beli-belah Kenangan Wholesale City Mall (KWC).

Menurut wanita tersebut, bayi itu terjatuh ketika berada di dalam kereta sorong bayi selepas menggunakan eskalator bersama ibu bapanya dalam kejadian pada Isnin.

Paparan CCTV menunjukkan kejadian selepas tayar jenis roda tiga kereta sorong bayi berjaya dikeluarkan dari eskalator.

Wanita yang menggunakan tweethandle @cokotiau turut mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku di pusat beli-belah berkenaan, tidak menggalakkan orang ramai untuk membawa anak kecil atas alasan bangunan itu tidak mesra keluarga.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Kenanga Wholesale City Mall yang mengambil perhatian perkara itu tampil menjelaskan situasi sebenar insiden melibatkan keluarga tersebut.

Menurut Pengurus KWC, Fiona Bong, wujud salah faham membabitkan insiden tersebut dan cerita yang ditularkan di laman sosial itu adalah tidak tepat.

"Pengurusan KWC telah menyiasat punca kejadian tersebut dan meneliti CCTV yang terdapat pada lokasi terbabit.

"Kami mendapati tayar kereta sorong bayi itu tersekat pada bahagian hujung eskalator hingga menyebabkan ia tersangkut. Insiden itu menyebabkan orang ramai panik namun tiada siapa yang mengalami kecederaan, termasuk bayi itu.

"Saya tidak faham bagaimana isu bayi tergelincir boleh timbul kerana ia sama sekali tidak berlaku," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Fiona turut menafikan insiden melibatkan kanak-kanak sering jatuh di lokasi berkenaan.

Kenyataan akhbar berhubung insiden di Kenanga Wholesale City Mall pada Khamis.

Dalam pada itu, Fiona turut menasihati ibu bapa untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila ia melibatkan keselamatan kanak-kanak.

"Saya pasti dimana-mana pusat membeli-belah sekalipun ada menyediakan papan tanda bagi mengingatkan ibu bapa untuk tidak membawa kereta sorong bayi naik ke atas eskalator.

"Demi keselamatan kanak-kanak, kami menasihatkan ibu bapa agar tidak membawa kereta sorong bayi ketika menggunakan eskalator kerana ia membahayakan.

"Adalah lebih baik jika menggunakan lif atau lipat kereta sorong bayi dan dukung bayi anda jika terpaksa menggunakan eskalator," katanya.

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia