suria

Sahabat Melayu anggap ‘Ane’ seperti abang, mereka teruja diminta jadi pengapit

Shathes (dua dari kanan) bersama empat daripada sembilan pengapit lelakinya yang berketurunan Melayu. Mereka ialah bakal doktor.

PERKAHWINAN pasangan ini bukan sekadar sebuah majlis menjalin ikatan dua hati, sebaliknya ia turut menjadi inspirasi kepada semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Pada Sabtu lalu, R. Shatheswaran, 31, memilih sembilan sahabat berketurunan Melayu untuk menjadi 'groomsmen' (pengapit lelaki) pada majlis persandingannya bersama Dr R. Arunna Neelini, 33.

Salah seorang pengapit pada majlis itu, Afiq Hidayat Adlan Suhaimi, 25, berkata, dia berasa terkejut dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi pengapit kepada sahabat baiknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Susah senang bersama, Ane pilih 9 sahabat Melayu jadi pengapit

"Saya mengenali Shathes sejak 2012 dan pada 2014, kami pernah menjadi rakan sebilik selama tiga tahun.

"Hubungan kami memang terlalu akrab. Saya sudah anggap dia sebagai seorang sahabat, abang, guru dan bapa.

"Saya tidak katakan dia berusia, tapi dia umpama senior bagi saya. Dia selalu beri nasihat berguna, bukan dari sudut seorang rakan sahaja, tetapi juga seperti seorang bapa," ujarnya yang mengenali Shatheswaran ketika belajar bersama di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Kesemua mereka berkenalan ketika menyambung pengajian dalam jurusan perubatan di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Seorang lagi pengapit, Muhammad Firdaus Mohd Fauzi, 25, dan rakan-rakannya yang lain juga amat teruja apabila Shatheswaran mengumumkan bahawa dia akan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya.

"Kami adalah kawan-kawan 'study group' Shathes sepanjang di universiti dulu.

"Jadi bila dia beritahu yang akhirnya dia akan berkahwin, kami sangat teruja kerana berjaya juga kawan seorang ni memperisterikan pasangannya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Pada awalnya, Muhammad Firdaus menyangka mereka dijemput sebagai tetamu sahaja, namun tidak sebaliknya apabila Shatheswaran ingin mereka memegang peranan penting pada hari bersejarah perkahwinan itu.

Sementara itu, Muhamad Naufal Mohd Noh, 27, pula berkata, dia ditugaskan untuk menguruskan penginapan semua pengapit yang dibiayai oleh pengantin lelaki.

"Tugas saya adalah memastikan semua orang dapat bilik mereka supaya semuanya berjalan lancar dan selesa, sebelum dan selepas majlis kahwin.

"Saya juga berpeluang menari 'bhangra' ketika mengiringi kedua-dua mempelai masuk ke dalam dewan," ujarnya yang berasal dari Shah Alam.

Shathes dan isteri, Dr Arunna Neelini melangsungkan majlis perkahwinan pada Sabtu lalu.

Bagi ketiga-tiga mereka, majlis perkahwinan itu tidak perlu terlalu dimegah-megahkan kerana setiap rakyat Malaysia sememangnya harus hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu-padu walaupun berbeza agama dan bangsa.

"Majlis macam ni sepatutnya jadi perkara normal, semua orang hidup dalam harmoni dan tidak perlu dimegah-megahkan pun. Kita tak perlu ada diskriminasi terhadap warna kulit, agama, atau perbezaan fahaman politik kerana dunia ini milik semua orang," tambah Afiq Hidayat yang berasal dari Tawau.

Kesemua mereka termasuk Shatheswaran sedang menunggu panggilan penempatan di hospital kerajaan untuk menjalani latihan sebagai pegawai perubatan.

mStar Online pada Selasa melaporkan, seorang bakal doktor memilih sembilan sahabat berketerunan Melayu sebagai pengapit pada majlis perkahwinannya.

Suasana yang jarang-jarang dilihat itu ternyata menarik perhatian netizen apabila gambar mereka tular di Twitter.

Shatheswaran, berkata, dia mahu kesemua sembilan sahabat baiknya itu menjadi sebahagian memori pada hari paling bersejarah dalam hidupnya.

'Ane' dalam bahasa Tamil bermaksud abang dan gelaran itu dipanggil buat Shatheswaran.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Shatheswaran, pengapit lelaki

Artikel Lain