suria

Susah senang bersama, Ane pilih 9 sahabat Melayu jadi pengapit

Shatheswaran bergambar bersama sembilan sahabat karibnya sempena hari perkahwinannya yang berlangsung di Kluang, Johor.

BIARPUN berlainan bangsa, ia tidak menghalang seorang bakal doktor untuk memilih sembilan sahabat berbeza agama dan bangsa sebagai pengapit pada majlis perkahwinannya.

Suasana yang jarang dilihat itu ternyata menarik perhatian netizen apabila gambar mereka tular di Twitter.

R. Shatheswaran, berkata, dia mahu kesemua sembilan sahabat baiknya itu menjadi sebahagian memori pada hari paling bersejarah dalam hidupnya.

Kata lelaki yang mesra dipanggil Shathes itu, hubungan mereka sangat akrab umpama adik-beradik ketika sama-sama melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Kesemua mereka termasuk Shatheswaran sedang menunggu panggilan penempatan di hospital kementerian untuk menjalani latihan sebagai pegawai perubatan.

"Kami memang tidak boleh berpisah dan mereka lah sahabat saya yang paling rapat.

"Jarak umur kami sekitar lima tahun kerana saya masuk universiti lewat berbanding mereka. Saya juga ibarat abang paling tua dan mereka semua panggil saya 'Ane' (abang dalam bahasa Tamil)," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Tambah pemuda yang berasal dari Kluang itu, walaupun jarak umur mereka agak jauh, persefahaman dan keserasian antara mereka ibarat isi dengan kuku.

Ketika ditanya tentang kelewatannya mendaftar masuk ke universiti, Shateswaran berkata, dia terpaksa mencari pekerjaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana bapanya tidak dapat membiayai yuran pengajian bagi jurusan perubatan.

"Saya kerja sebagai juruteknik komputer selama beberapa tahun dan kemudian membuka dua pusat siber sendiri selama lima tahun.

"Kemudian saya jual pusat siber itu untuk mengejar cita-cita bergelar doktor. Di universiti, saya berkenalan dengan mereka dan persahabatan kami kekal sehingga hari ini," katanya yang baru menghadiri majlis graduasi pada 15 Disember lalu.

Shathes dan isteri, Dr Arunna Neelini bergambar bersama para tetamu pada majlis perkahwinan mereka.

Menurut lelaki berusia 31 tahun itu, dia terharu dengan kesanggupan sembilan rakannya yang begitu komited menjayakan majlis perkahwinannya.

Jelasnya, dia turut berasa bertuah apabila kesemua rakannya itu membantu melancarkan perjalanan majlis perkahwinannya dengan menjadi pengurus lantai, deejay, melayan dan menari bersama tetamu.

Pengantin baharu itu turut menghabiskan sekitar RM1,500 untuk membeli satu set persalinan tradisional untuk pengapit lelaki yang dipanggil 'jippa' (baju) dan 'vheti' (kain sarung).

Shatheswaran dan isterinya, Dr R. Arunna Neelini, 33, mendirikan rumah tangga pada Sabtu lalu di Taman Sri Kluang, Johor.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Shatheswaran

Artikel Lain