Anih siasat kes gaduh libatkan kakitangan gerai R&R Gambang dengan pemandu bas ekspres - Viral | mStar

Anih siasat kes gaduh libatkan kakitangan gerai R&R Gambang dengan pemandu bas ekspres

Paparan skrin yang diambil daripada klip pergaduhan tersebut. - Facebook Viral.My-Original

KUANTAN: Pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menyiasat kejadian pergaduhan yang dikatakan antara kakitangan gerai kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Gambang di sini, dengan seorang pemandu bas ekspres yang tular di laman sosial.

Anih Berhad menerusi kenyataan media di sini pada Selasa, berkata kakitangan yang terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat, jika didapati bersalah.

"Tindakan kakitangan itu merupakan tingkah laku peribadi dan tidak melambangkan atau menggambarkan prinsip syarikat.

"Syarikat tidak bertolak ansur terhadap sesiapa yang terlibat dengan kejadian yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan pengguna lebuh raya," menurut kenyataan itu.

Anih Berhad yang kesal dengan kejadian itu menegaskan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam pengguna adalah keutamaan mereka.

Rakaman video selama seminit 48 saat itu yang tular pada Selasa, menunjukkan pergaduhan antara kakitangan R and R terlibat dengan seorang pemandu bas ekspres yang dikatakan berlaku pada pukul 1.30 pagi, Isnin.

Punca pergaduhan dipercayai akibat pemandu bas mengugut mahu melempang seorang pelayan yang menggunakan bahasa kesat terhadapnya, menyebabkan dia dipukul oleh beberapa individu selepas selesai minum.

Anih Berhad menambah mereka difahamkan pemandu bas berkenaan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, dekat sini pada pukul 5 pagi semalam. - Bernama

Anih

Artikel Lain