Niat nak bagi amaran hal diperdaya 'scammer', tapi dikecam netizen pula - Viral | mStar

Niat nak bagi amaran hal diperdaya 'scammer', tapi dikecam netizen pula

Nur Nabilah mendakwa sebuah bungkusan (kiri) dihantar ke alamat bapanya tanpa pesanan belian dibuat. - Foto Facebook Nur Nabilah

BUKAN semua yang dikongsi di akaun media sosial peribadi disukai semua pihak.

Lebih-lebih lagi jika perkongsian itu tular sehingga meraih perhatian pengguna media sosial lain.

Itulah yang terjadi kepada Nur Nabilah Razak Malik, 26, apabila niatnya untuk berkongsi pengalaman ibu bapanya hampir diperdaya 'scammer' mendapat kecaman netizen.

Posting Nur Nabilah tersebut tular sehingga menerima lebih 8,500 tanda suka dan dikongsi sebanyak 46,102 kali di Facebook.  

Anak sulung daripada tujuh beradik itu pada Khamis memuat naik hantaran di Facebook untuk menceritakan insiden seorang pekerja perkhidmatan kurier yang didakwa menghantar bungkusan ke alamat rumah orang tuanya, namun barang tersebut tidak pernah dipesan.

Posting pertama yang dimuat naik oleh Nur Nabilah berhubung insiden tersebut.

"Saya tidak salahkan pekerja itu kerana mungkin dia hanya menjalankan tugasnya untuk menghantar barang. Dia pun tak paksa ibu saya buat bayaran. Siap suruh ibu saya ambil gambar lagi.

"Tapi, ibu terkejut apabila barang itu kononnya dibeli oleh bapa saya dan perlu dibayar secara 'COD' (tunai ketika penghantaran)," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Menurutnya lagi,  ibunya kemudian menghubungi bapanya yang sedang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, bapanya menafikan pernah membuat pesanan untuk membeli barangan yang bernilai RM149 tersebut.

"Bapa saya ni langsung tidak pandai beli barang 'online' dan dia guna pun telefon bimbit yang 'basic' tu sahaja.

Nur Nabilah turut berkongsi tentang pengalaman pengguna Facebook lain yang turut mengalami insiden serupa.

"Saya juga bertanya kepada semua adik-beradik sama ada mereka ada membeli barang dengan menggunakan alamat dan nama bapa, tetapi semua berkata tidak.

"Kami pun tidak tahu apa yang ada dalam bungkusan tersebut. Mak saya tidak buka kerana enggan menerima dan membayar bungkusan itu," jelasnya.

Tambah suri rumah yang berniaga secara sambilan itu, dia berasa terkilan apabila perkongsian ikhlasnya untuk memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan 'scammer' telah disalah erti.Terdapat segelintir netizen yang mendakwa dia sengaja mencari publisiti murahan kerana ingin menjual produknya.

"Niat saya hanya nak bagi orang lain berjaga-jaga. Tujuan saya beritahu yang saya ni peniaga adalah untuk meyakinkan orang yang saya faham konsep COD tu.

"Kalau saya nak cari publisiti, bukannya susah. Zaman sekarang, dah banyak orang buat video yang pelik-pelik untuk tarik perhatian pelanggan. Tapi saya tidak buat begitu," katanya yang menjual madu sarang lebah.

scammer , cod

Artikel Lain