Penipuan melibatkan 'love scam' merupakan antara penyumbang kepada kerugian dialami negara. -Gambar hiasan AI
SEBANYAK RM6.95 bilion kerugian direkodkan akibat penipuan dalam talian di Malaysia sejak 2023 hingga Ogos tahun ini, dengan skim pelaburan tidak wujud menjadi modus operandi mencatatkan jumlah kerugian paling tinggi.Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin memaklumkan, sebanyak 181,750 kes penipuan dalam talian direkodkan pihak polis sepanjang tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 45,683 kes melibatkan kerugian RM1.18 bilion dilaporkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sahaja.Statistik turut menunjukkan jumlah kerugian meningkat setiap tahun iaitu RM1.22 bilion pada 2023 sebelum naik kepada RM1.57 bilion pada 2024.Angka itu kemudian melonjak kepada RM2.97 bilion sepanjang 2025.Mengikut modus operandi, penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM3.28 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi dengan RM2.03 bilion.Sementara itu, penipuan cinta atau love scam merekodkan jumlah kerugian paling rendah iaitu RM169.72 juta.Bagaimanapun, dari segi jumlah kes, penipuan berkaitan telekomunikasi mendahului senarai dengan 69,195 kes, diikuti penipuan e-dagang (47,221) dan penipuan cinta (3,540).Statistik berkenaan diberikan sebagai maklum balas kepada pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang meminta data terkini penipuan dalam talian bagi tahun ini.Selain itu, Hasnizan turut mengajukan soalan mengenai perancangan kementerian untuk memperkenalkan kerangka tanggungjawab bersama membabitkan bank, syarikat telekomunikasi dan platform digital.Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan pada hari sama, kementerian menjelaskan peningkatan kerugian berpunca daripada kegiatan sindiket semakin canggih.Menurut kementerian, sindiket berkenaan mengambil kesempatan menggunakan teknologi digital, identiti palsu, media sosial serta manipulasi psikologi bagi memperdaya mangsa.Bagi meningkatkan peluang mendapatkan semula wang yang dilarikan, kementerian turut menekankan kepentingan tempoh 'golden hours' sejurus selepas mangsa menyedari mereka ditipu.Mangsa digesa menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 24 jam pertama bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan dan menyekat transaksi sebelum wang dipindahkan atau dikeluarkan sindiket.Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, NSRC menerima sebanyak 159,728 panggilan membabitkan kerugian RM250.35 juta.Daripada jumlah itu, sebanyak RM9.14 juta berjaya disita, manakala RM6.67 juta atau 73 peratus daripada wang yang disita berjaya dikembalikan kepada mangsa.Mengulas usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di luar negara, kementerian berkata kerjasama rapat dilaksanakan bersama Kementerian Luar Negeri, perwakilan diplomatik Malaysia serta pihak berkuasa negara terbabit.Sebaik menerima laporan, maklumat risikan akan dikongsi dengan segera bagi membantu operasi menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan.Perwakilan diplomatik Malaysia pula akan menguruskan bantuan konsular, dokumentasi serta urusan membawa pulang mangsa ke tanah air.Kerjasama serantau dan kempen kesedaran kepada orang ramai turut diteruskan bagi membendung penipuan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan pendapatan lumayan tetapi mencurigakan. -The Star