Lori Jabatan Imigresen yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga individu, di Jalan Sultan Ismail, awal pagi Rabu.
IDENTITI tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi Rabu, sudah dikenal pasti. Mangsa yang maut adalah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12. Seorang lagi mangsa, Norhayati Razali, 55, yang merupakan isteri kepada Shaik Mohd Firdaus, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, keluarga berkenaan berasal dari Kampar, Perak.ARTIKEL BERKAITAN: Hanya tinggal ibu di zon merah... Tiga sekeluarga maut nahas lori Imigresen langgar lampu isyaratMenurutnya, pemandu lori Jabatan Imigresen itu telah direman selama sehari bagi membantu siasatan.Terdahulu, Mohd Zamzuri berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 pagi Rabu di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail ketika lori tanpa muatan terbabit dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tahanan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).Kenderaan itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.Pada masa sama, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau."Pemandu berkenaan tidak sempat mengelak lori itu hingga menyebabkan perlanggaran berlaku di tengah persimpangan," katanya.Akibat rempuhan itu, Mohd Zamzuri berkata lori Jabatan Imigresen terbabas ke arah empat ahli keluarga yang sedang berjalan kaki.Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.