suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Hanya tinggal ibu di zon merah... Tiga sekeluarga maut nahas lori Imigresen langgar lampu isyarat

Tiga individu maut dalam kemalangan yang berlaku pada awal pagi Rabu.

TIGA sekeluarga maut dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian tragis itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika lori tanpa muatan terbabit dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tahanan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

“Pemandu berkenaan tidak sempat mengelak lori itu hingga menyebabkan perlanggaran berlaku di tengah persimpangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat rempuhan itu, Mohd Zamzuri berkata lori Jabatan Imigresen terbabas ke arah empat ahli keluarga yang sedang berjalan kaki.

“Lori berkenaan turut melanggar sebuah lagi kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

“Tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.

“Isteri lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun dan juga ibu kepada dua mangsa wanita itu turut dilanggar serta mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki,” katanya sambil menambah wanita berkenaan dibawa ke zon merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Mohd Zamzuri berkata, polis menahan pemandu lori Jabatan Imigresen dan pemandu berusia 50 tahun berkenaan bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan pernafasan bagi alkohol dan saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif.

“Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta sedang mengesan saksi bebas.

“Kenderaan yang terlibat turut dibawa untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Dia berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan agar siasatan segera dijalankan ke atas kes berkenaan.

"Salam takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini. Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh.

"Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi. Al-Fatihah," tulis Anwar menerusi Facebook pada pagi Rabu.

 

Artikel Lain