SEORANG pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua individu dalam kemalangan tragis pada 14 Ogos lalu.Norazlan Mahayuddin, 37, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan pada pagi Selasa. Dalam prosiding itu, dia didakwa memandu sebuah lori tangki secara berbahaya selepas mengambil kira keadaan jalan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di lokasi kejadian.Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian dua beranak iaitu Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu.Dalam prosiding tersebut, tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.Pada 1 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam dan penyerahan dokumen.Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tanggki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api.Kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kereta sebelum ditemukan dalam keadaan rentung, manakala pemandu lori tangki itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.