MAHKAMAH Sesyen Shah Alam pada Isnin memerintahkan penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada pendakwah bebas, Ebit Lew kerana memfitnahnya, tiga tahun lalu.Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut mengarahkan Caprice, 40, memadam kenyataannya bersama seorang pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dari platform media sosialnya dalam tempoh 48 jam. Selain itu, Zuhrina dalam penghakimannya memutuskan Caprice tidak boleh mengeluarkan komen atau membuat kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, di masa akan datang.Mahkamah turut menolak tuntutan balas Caprice dengan alasan ia tidak berasas.ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew fail saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy TattoEbit selaku plaintif memfailkan saman terhadap Caprice selepas dia memuat naik rakaman video bersama Mondy sebagai tetamu jemputan pada 15 September 2023.Plaintif mendakwa, rakaman itu antara lain membawa maksud Ebit melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap wanita terbabit, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.Menurutnya, akibat penerbitan video itu, banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice.Ebit diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam, Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.Susulan keputusan tersebut, Ebit meluahkan rasa syukurnya menerusi satu perkongsian di Instagram."Alhamdulillah syukur pada Allah, saya menang saman terhadap Caprice. Beliau diperintah mahkamah untuk memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000 kepada saya," tulisnya.