suria

Pekebun 71 tahun direman kes 3 individu ditembak, ‘shotgun’ milik suspek turut dirampas

Mahkamah Majistret Kota Tinggi mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek. -Foto Bernama

SEORANG pekebun berusia 71 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tembakan yang mengorbankan tiga individu di hadapan sebuah restoran di Kota Tinggi, Johor pada Ahad lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin.

Reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat 12 kali.

Suspek yang tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dilihat bergari ketika dibawa masuk oleh anggota polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga termasuk seorang wanita maut dalam insiden tembakan di Kota Tinggi

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun maut selepas dipercayai ditembak menggunakan senajta api jenis shotgun (senapang patah) buatan Benelli M Super di sebuah restoran di Kota Jaya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, kira-kira 200 meter dari lokasi tragedi.

Menurutnya, polis turut merampas senapang patah milik suspek yang mempunyai lesen sah.

"Suspek memiliki tanah pertanian yang melayakkan dia memiliki senjata api.

"Lesen tersebut diberikan bagi tujuan melindungi tanaman daripada haiwan perosak, bukan untuk kegunaan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ab Rahaman, motif kejadian masih dalam siasatan namun setakat ini tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan.

"Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan hutang peribadi," katanya. -The Star

Artikel Lain