PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah baharu bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat, termasuk kemudahan caruman perlindungan dan urusan ibadat haji.
Menurutnya, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memiliki perlindungan kewangan dan kesihatan, kerajaan bercadang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera.
"Bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, kerajaan bercadang supaya pencarum KWSP boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan peningkatan had pengeluaran KWSP bagi tujuan menunaikan ibadat Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000.
"Kerajaan bersetuju supaya had pengeluaran KWSP untuk tujuan menunaikan ibadat Haji ditingkatkan kepada RM10,000 ketimbang RM3,000.
"Untuk penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) diperluas bagi tujuan menunaikan Haji terhad kepada penebusan RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta," katanya.


