suria

Abang dituduh ‘tebuk’ adik perempuan sendiri sejak usia 11 tahun... Buat kerja terkutuk di dapur, bilik mak ayah!

Pembantu kedai makan didakwa merogol adik kandung sejak 2023. -Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin atas tiga pertuduhan merogol adik kandungnya sejak berusia 11 tahun sejak dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga anak kedua daripada empat beradik didakwa merogol mangsa di dalam bilik bapa mereka pada April 2023.

Sementara itu berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di dapur rumah pada Disember 2024 dan bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merogol mangsa sama dalam sebuah bilik pada April lalu.

Kesemua kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di sebuah kampung di Bachok, lapor Sinar Harian.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, selain sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Mangsa kini berusia 13 tahun dan berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mohd Firdaus mengemukakan rayuan supaya tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan alasan pesalah adalah muda dan kejadian pertama didakwa berlaku semasa berusia 17 tahun.

“Tertuduh tak pernah larikan diri, dia baru tiga bulan mendirikan rumah tangga dan isterinya mengandung di usia kehamilan peringkat awal.

“Hari ini bapa dan isterinya hadir, bersedia nak jadi penjamin dan memastikan tertuduh tak kacau mangsa. Tertuduh akan berpindah ke Kuala Lumpur bersama isteri untuk bekerja,” katanya.

Ahmad Faiz Fitri bagaimanapun membantah permohonan itu dan sekiranya ikat jamin dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan jumlah yang tinggi iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

“Rogol didakwa berlaku semasa mangsa berusia 11, 12 dan 13 tahun, tiga tuduhan serius terhadap adik kandung. Mahkamah juga sedia maklum keseriusan kes sebegini di Kelantan.

“Mangsa trauma, mengadu sakit dada dan mendapat rawatan serta disahkan alami tekanan psikologi akibat kejadian ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM30,000 dan menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun tertuduh tidak menjelaskan wang jaminan.

Artikel Lain