suria

Punca helikopter terhempas dikenal pasti, pusat kawalan trafik terima mesej terakhir 10 minit sebelum insiden

Keadaan di lokasi nahas helikopter jenis Bell 206L-4 Long Ranger di Bentong, Pahang.

NAHAS sebuah helikopter jenis Bell 206L-4 Long Ranger di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong dipercayai berpunca daripada skid bergesel dengan platform ketika melakukan pendaratan pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, keterangan daripada dua orang saksi mendapati skid helikopter itu terkena tempat pendaratan ketika cuba mendarat bagi tujuan mengisi bahan api.

"Apabila helikopter itu mencapai ketinggian tiga kaki ketika mendarat, skid helikopter terbabit bergesel dengan muka bumi lalu terbalik," jelasnya dalam satu sidang media di lokasi nahas.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata mesej terakhir daripada helikopter malang berkenaan diterima ketika sedang pulang ke kawasan pendaratan, kira-kira 10 minit dari lokasi di Bentong, Pahang.

Helikopter yang dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja udara ketika insiden berlaku pada pukul 10.26 pagi.

"Maklumat terakhir dilaporkan oleh pengendali helikopter sekitar pukul 10.18 pagi kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

"Mesej tersebut memaklumkan bahawa helikopter itu sedang kembali ke tapak pendaratan," katanya dalam satu kenyataan.

Akibat nahas terbabit, seorang jurutera warga Indonesia maut terkena bilah kipas helikopter di tempat pendaratan

Manakala juruterbang helikopter yang juga warga Indonesia terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Artikel Lain