NAHAS melibatkan sebuah helikopter yang berlaku di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong pada Khamis, mengorbankan seorang jurutera warga Indonesia.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pukul 10.39 pagi itu, mangsa yang berada di kawasan pendaratan maut dipercayai terkena bilah kipas helikopter.
Sementara itu ujarnya, juruterbang helikopter yang juga warga Indonesia terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter terhempas sebelum sempat mendarat di Bentong
Ketika kejadian, helikopter jenis Bell 206L4 itu terbalik sebelum terbakar ketika mendarat untuk mengisi bahan api di lokasi kejadian.
"Berdasarkan laporan saksi di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai melakukan pendaratan di lokasi untuk tujuan pengisian bahan bakar.
"Ketika berada di darat semasa melakukan pendaratan, helikopter telah hilang kawalan dan terbalik," katanya sambil menambah, helikopter berkenaan musnah sepenuhnya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


