KISAH seorang lelaki lelaki kurang upaya (OKU) dipukul beramai-ramai di sebuah pasar tani di Terengganu ternyata memberi kesan mendalam kepada kita. Insiden tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan netizen, malah turut menyentuh hati seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Fiqah Suha. Sebagai anak jati Terengganu, Fiqah meluahkan rasa terkilan dengan kejadian yang berlaku dan tidak dapat membayangkan jika insan istimewa seperti ibunya turut diperlakukan sedemikian. "Sebagai orang Terengganu, aku rasa malu dan pilu," luah Fiqah pada ruangan kapsyen video. Ahli keluarga Fiqah. Dalam perkongsian penuh emosi, Fiqah menceritakan kisah ibunya, seorang OKU yang hilang ingatan akibat komplikasi ketika melahirkan anak ke-18 pada 2010. "Jujur cakap, hanya yang ikhlas jaga insan istimewa begini sahaja yang mampu bersabar apa jua berlaku. Tak kan semudahnya pukul mereka walau nyawa jadi taruhan. "Kita dikurniakan akal waras, sedang mereka diuji. Kasihi dan kasihanilah hingga akhir hayatnya," tulisnya pada video yang tular. Fiqah turut berkongsi kisah ibunya dalam hantaran tersebut sehingga detik-detik terakhir sebelum ibunya mengalami masalah hilang ingatan. ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat dedah siapa sebenarnya OKU kena belasah... Anggap insiden amat memalukan - “Mana akal, iman kamu semua?” ARTIKEL BERKAITAN: OKU dilihat trauma di hospital lepas kena belasah, anak pilu kenang nasib bapa - “Dunia terlalu kejam untukmu” "Umi sihat dan ceria hingga saat nak melahirkan, sempat solat Zohor dahulu. Kami semua teruja nak adik perempuan setelah berturut dapat adik lelaki tapi tak rezeki baby panjang umur," jelasnya. Sejak kejadian itu, ingatan ibunya yang merupakan seorang guru mengaji terus hilang yang mana Fiqah menggambarkannya seperti seorang kanak-kanak. Menurut Fiqah, paling lama ibunya boleh mengingati sesuatu hanyalah selama 10 saat sebelum segalanya lenyap semula. "Semua tak ingat tapi (ayat) al-Quran tak hilang (dari ingatan). Banyak ayat masih boleh sambung. Kadang baca sendiri. Tak kan semudahnya pukul mereka walau nyawa jadi taruhan. FIQAH SUHA "Dulu Umi seorang guru al-Quran. Dia mengajar anak-anak dan jiran-jiran mengaji," katanya. Lebih menyayat hati apabila ibu Fiqah dikatakan langsung tidak ingat tentang anak-anaknya serta menyangka dirinya masih belum berkahwin. Secara keseluruhannya Fiqah mempunyai 18 adik beradik namun kini hanya tinggal 14 orang kerana ibunya mengalami tiga kali keguguran, manakala seorang lagi telah meninggal dunia. Meskipun berdepan ujian berat, keluarga Fiqah tetap tabah dan tidak pernah berputus asa dalam menjaga ibunya. Fiqah membuat hantaran tersebut selepas melihat kes OKU dipukul di pasar tani Terengganu. Terdahulu, tular kisah lelaki OKU, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, menjadi mangsa belasah orang awam selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar salah sebuah gerai jualan di sebuah pasar tani. Kejadian pada Jumaat pagi itu menyebabkan makanan di gerai berkenaan bertaburan, mencetuskan kemarahan sekumpulan individu di lokasi tersebut. Insiden berkenaan menjadi tular di media sosial selepas rakaman video menunjukkan tindakan agresif beberapa individu yang memukul mangsa tanpa belas kasihan. Kejadian itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan lebih-lebih lagi apabila mangsa merupakan OKU dengan masalah mental. Pada Isnin, individu kelima dipercayai terlibat dalam kes pukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu itu ditahan reman bagi membantu siasatan.