suria

Tayar lori tercabut di lebuh raya, wanita tersepit dalam kemalangan babit 3 kereta

Tayar sebuah lori tercabut hingga mengakibatkan kemalangan. - Gambar ihsan bomba

SEORANG wanita tersepit di tempat duduk hadapan selepas kenderaan yang dinaiki merempuh tayar sebuah lori tangki yang tercabut, dalam kejadian pada Isnin malam.

Tiga lagi individu cedera dalam nahas yang berlaku pukul 8.40 malam itu, membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 199 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, Sitiawan, Perak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa berusia tiga hingga 36 tahun dengan yang cedera menaiki kenderaan jenis Toyota Yaris.

Katanya, dua mangsa lain yang menaiki kenderaan jenis Honda Civic serta Mercedes bagaimanapun dilaporkan tiada kecederaan.

Keadaan sebuah kereta selepas merempuh tayar lori yang tercabut. - Gambar ihsan bomba

Keadaan sebuah kereta selepas merempuh tayar lori yang tercabut. - Gambar ihsan bomba

“Kemalangan dilaporkan berlaku apabila tiga kenderaan terbabit merempuh tayar kiri sebuah lori tangki membawa muatan minyak 45 tan yang tercabut.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang wanita berusia 36 tahun yang berada di tempat duduk hadapan Toyota Yaris telah tersepit.

“Mangsa itu kemudian berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital dengan menggunakan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.

“Tiga lagi mangsa yang juga cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan serta BBP Seri Manjung sebelum ia ditamatkan pada jam 10.36 malam.

Artikel Lain