SEORANG lagi lelaki, dipercayai terlibat dalam kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu, direman tiga hari bagi membantu siasatan. Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan permohonan reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu sehingga Rabu ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 11.30 malam Ahad ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. ARTIKEL BERKAITAN: OKU dilihat trauma di hospital lepas kena belasah, anak pilu kenang nasib bapa - “Dunia terlalu kejam untukmu” Penahanan terbaharu itu menjadikan lima lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes setakat ini. "Tiga saksi awam turut dipanggil untuk diambil keterangan," katanya. mStar sebelum ini melaporkan seorang OKU, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dibelasah dengan kejam oleh orang awam selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan di pasar tani itu sehingga menyebabkan makanan tertumpah. Video kejadian berkenaan turut tular di laman sosial dan mengundang kecaman warga maya yang menyifatkan tindakan memukul individu tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.