suria

Tragis! 2 pelajar Malaysia maut nahas di New Zealand

Dua pelajar Malaysia terkorban dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand. -Gambar hiasan

DUA pelajar Malaysia terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Wisma Putra memberitahu, tiga lagi pelajar Malaysia yang turut terbabit dalam kemalangan itu, sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

"Kementerian Luar, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand, ingin mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan lima pelajar Malaysia di Tasik Tekapo pada 30 Mac 2024, jam 1.45 petang waktu tempatan.

"Dua mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

Tambah kenyataan itu, pihaknya sedia membantu sekiranya waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

"Kementerian Luar juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain