suria

Suasana pilu di tanah perkuburan, 6 tulang sah milik Bella selamat dikebumikan

Polis menemukan beberapa tulang di lokasi penemuan rangka Bella.

ENAM ketul tulang yang ditemui berhampiran rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat dua bulan lalu, sah milik Allahyarham Mila Sharmila Samsusah, atau Bella, 32.

Perkara itu disahkan kakak Bella, Norhisham, 36, selepas keluarganya menerima laporan forensik daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), pada Jumaat malam.

"Alhamdulillah tulang adik dapat dikembalikan dengan anggota yang lain.

"Saya sangat bersyukur kerana akhirnya urusan pengebumian tulang itu dapat dilakukan," katanya dipetik sebagai berkata dalam Sinar Harian, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Polis temukan tulang dipercayai milik manusia dekat lokasi penemuan rangka Bella

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak syukur lebih banyak anggota hilang ditemukan semula, 90 peratus rangka milik Bella

Menurut Norhisham, enam ketul tulang tersebut selamat dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, dekat Batu Pahat, pukul 1 tengah hari Sabtu.

Anak arwah Bella, Eusof Abdul Fatah, 5, dan ibu Noraini Salleh, 55, turut berada di tanah perkuburan.

Norhisham berkata, dia sekeluarga berharap tulang kaki dan tulang belakang Bella yang hilang dijumpai secepat mungkin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati, tulang ditemui adalah sepadan dengan rangka dijumpai semasa proses siasatan dalam kes pembunuhan Bella.

Beliau berkata, pihak HSI dimaklumkan berkaitan pengesahan keputusan ujian DNA bagi membolehkan waris Bella menuntut tulang tersebut.

Enam ketul tulang ditemui berdekatan rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, ketika kerja pembersihan tapak sekitar kawasan itu.

Pada 28 Februari, hasil pemeriksaan polis menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember tahun lalu, sebelum rangka miliknya tidak sempurna ditemui di rumah sewa terbiar pada 21 Januari lalu.

Ibu tunggal dua anak itu dipercayai dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang kini sedang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain