suria

Memberi kembali kepada masyarakat, Mydin teruskan tradisi Ramadan... Agih 45,000 bubur lambuk percuma

Ameer (kanan) mengagihkan bekas bubur lambuk kepada orang ramai. -Gambar Raja Faisal Hishan/The Star

BUBUR lambuk sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan yang dijadikan sebagai pelengkap juadah ketika berbuka puasa.

Bagi meneruskan lagi tradisi sepanjang Ramadan, rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mengagihkan sebanyak 45,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif menerusi Majlis Pengagihan Bubur Lambuk tidak tertumpu pada aktiviti memasak dan menyediakan hidangan bulan puasa semata-mata, tetapi sebagai komitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

MYDIN Edar 45,000 Bekas Bubur Lambuk Sepanjang Ramadhan.  — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Sesi agihan bubur lambuk disertai Sunilkumar Dube (tiga, kanan) dan Jessica Supayah (empat, kanan) pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk. -Gambar Raja Faisal Hishan/The Star

"Apabila tiba bulan Ramadan, Mydin sangat prihatin terhadap nasib orang ramai dengan menganjurkan program agihan bubur lambuk ini. Niat kami adalah untuk meringankan beban orang ramai.

"Seperti yang kita sedia maklum pada musim perayaan, harga barang semakin naik, jadi golongan B40 terutama sekali memerlukan bantuan. Jadi apa salahnya sekiranya kami sebagai warga korporat ini membantu semua orang yang kurang berkemampuan.

"Lagi pula, mereka sudah terbiasa membeli barangan di Mydin. Jadi inilah masanya kami beri semula kepada komuniti," katanya ketika ditemui mStar pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor pada Sabtu.

Ameer meluahkan rasa bersyukur dan senang hati dengan jalinan kolaborasi beberapa jenama terkemuka seperti beras basmathi Indra Valley, minyak masak Saji, perencah serbaguna Bestari serta syarikat minuman isotonik 100PLUS bagi menjayakan program berkenaan.

Kemeriahan majlis yang berlangsung di Mydin USJ. -Gambar Raja Faisal Hishan/The Star

Tambah beliau, sebanyak 22 periuk bubur lambuk disediakan sejak pukul 8.30 pagi sebelum diedarkan kepada pengunjung Mydin komuniti Subang Jaya dan 26 lagi cawangan Mydin sekitar Lembah Klang.

Menurut Ameer, pemberian sebanyak 45,000 bubur lambuk pada 2024 merupakan agihan terbesar yang dilakukan berbanding tahun-tahun sebelum ini melibatkan seluruh cawangan pasar raya besar termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Ameer turut berhasrat agar kerjasama menganjurkan program seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mengeratkan ukhwah sempena Ramadan.

MYDIN Edar 45,000 Bekas Bubur Lambuk Sepanjang Ramadhan.  — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib (dua, kanan) mengagihkan bekas bubur lambuk kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih banyak pasar raya dan badan bukan kerajaan (NGO) akan melakukan projek CSR mengikut kemampuan masing-masing.

"Apa-apa pun kita tidak boleh menghakimi jumlah diberikan tetapi niat mereka untuk membantu seberapa yang boleh. Sekiranya tidak boleh berikan dalam bentuk wang ringgit, kita boleh kirimkan doa.

"Untuk hari ini (Sabtu) kami menyediakan bubur lambuk sebanyak 22 periuk dengan jumlah 10,000 pek dan minuman isotonik 100PLUS yang diagihkan kepada 27 cawangan Mydin sekitar Lembah Klang.

"Saya bersyukur apabila melihat pada sambutan di Mydin, memang ramai orang datang untuk mengambil bubur lambuk termasuklah warga emas yang berkerusi roda.

"Saya terharu dengan sokongan diberikan oleh komuniti Subang Jaya. Melihat wajah gembira mereka saat menerima bubur lambuk ini merupakan momen berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," ujarnya lagi.

Penyediaan bubur lambuk oleh Chef Fazli yang dibantu pelajar-pelajar kolejnya. -Gambar Mydin

Majlis Pengagihan Bubur Lambuk pada 2024 ini turut dimeriahkan oleh wakil daripada syarikat Indra Valley iaitu Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Sunilkumar Dube, dan Pengarah Urusan, Jessica Supayah.

Lebih menarik, penyediaan bubur lambuk merupakan hasil kepakaran memasak oleh Pensyarah Kolej Universiti Sedaya Antarabangsa (UCSI), Chef Fazli yang dibantu pelajar-pelajar dalam menjayakan program.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain