suria

Bergaduh gara-gara rebut tapak bazar Ramadan, tujuh individu ditahan polis

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan. -Gambar hiasan

TUJUH individu ditahan polis susulan insiden rusuhan gara-gara berebut tapak niaga bazar Ramadan di Taman Medan, Petaling Jaya, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, polis menerima laporan mengenai insiden di bazar itu pada pukul 3.26 petang Rabu (27 Mac).

"Polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan empat lelaki serta tiga wanita berusia antara 20an hingga 40an.

"Polis merampas sebatang 'fork lock' (pengunci kenderaan) dan sebuah kerusi plastik dipercayai digunakan dalam insiden rusuhan susulan pertengkaran dua peniaga di tapak bazar itu.

"Tiga daripada empat suspek yang mempunyai rekod itu adalah berkaitan kes dadah, manakala seorang lagi pula memiliki rekod jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke gerai tepi jalan berlagak ‘kak long kawasan’ ugut peniaga sebelah, sakit hati jual menu sama... “Esok saya tak nak tengok nasi lemak ni!”

Shahrulnizam berkata, semua suspek direman selama dua hari bermula Khamis.

Shahrulnizam turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi polis PJ di talian 03-79662222.

Terdahulu ujarnya, insiden dipercayai tercetus apabila peniaga wanita yang berniaga jus tembikai, berselisih faham dengan peniaga lelaki menjual popia.

Beliau berkata, peniaga lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati selepas peniaga wanita terbabit didakwa masuk ke kawasan tapak perniagaannya.

Dek kerana itu, peniaga lelaki terbabit didakwa mengambil sebatang besi sebelum memukul wanita berkenaan sehingga berlaku kekecohan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain