suria

Lagi kemalangan di Pasir Gudang... Nahas babitkan lapan kenderaan

Kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran susur ke Taman Rinting, pada pagi Khamis. -Gambar Thestar

HANYA selepas tiga hari kemalangan membabitkan sebuah treler merempuh 11 kenderaan lain di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Daya, terbaharu satu lagi nahas dilaporkan berlaku di laluan sama.

Nahas yang berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran susur ke Taman Rinting, sekitar pukul 11.40 pagi Khamis, membabitkan lapan buah kenderaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, nahas melibatkan satu lori tangki jenis FUSO, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Triton, lori satu tan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mazda CX5 dan tiga kereta iaitu Perodua Viva, Honda City dan Mini Cooper.

"Apabila pasukan kami tiba di tempat kejadian, kesemua mangsa telah keluar dari kenderaan masing-masing dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Treler terbabas sebelum rempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang

Anggota penyelamat kemudiannya melakukan tindakan operasi dengan membuat pemeriksaan di kawasan kejadian bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Video dan gambar kemalangan berkenaan turut tular di media sosial.

Terdahulu pada petang Isnin (25 Mac), tiga pemandu dilaporkan cedera apabila sebuah lori treler merempuh 11 kenderaan lain di sepanjang lebuh raya itu.

Polis percaya kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang datang dari arah Perling cuba memasuki lorong kanan dari lorong tengah, menyebabkan pemandu treler gagal mengawal kenderaan berat itu ketika cuba mengelak.

Treler itu kemudian melencong ke laluan bertentangan dan merempuh 11 kenderaan lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain