suria

Ngeri! Treler terbabas sebelum rempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang

Tular di media sosial video kemalangan membabitkan sebuah treler yang merempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang.

NGERI! Begitulah gambaran yang dapat disimpulkan mengenai nahas membabitkan sebuah treler dengan beberapa buah kenderaan lain, pada petang Isnin.

Video kemalangan berkenaan yang dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang berada di lokasi memaparkan sebuah treler berwarna biru terbabas dan memasuki laluan bertentangan, sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain.

Berdasarkan klip video yang tular, treler tersebut pada mulanya dilihat berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di laluannya sehingga menyebabkannya terbabas dan merempuh penghadang jalan, yang kemudian memasuki laluan bertentangan.

Difahamkan, kejadian berlaku di Lebuh Raya Pasir Gudang, berdekatan Kangkar Tebrau, Johor Bahru, Johor, sekitar pukul 4.00 petang.

Berdasarkan maklumat awal, dilaporkan 11 buah kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan treler berkenaan.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan mengenai jumlah mangsa yang cedera atau maut.

Pihak polis setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain