suria

Tak sempat capai… Ibu baru bangun tidur nampak anak di luar tingkap sebelum jatuh dari tingkat 16

Kanak-kanak itu maut selepas terjatuh bangunan tingkat 16.

TRAGIS! Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut akibat terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Polis menerima laporan kejadian pada pukul 4.28 petang Ahad sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, hasil soal siasat awal ke atas ibu bapa mangsa yang berusia 30an mendapati mereka seisi keluarga sedang tidur dan ketika mangsa memanjat tingkap yang terletak di ruang tamu.

"Ibu mangsa yang bangun (dari tidur), mendapati anaknya sudah berada di bahagian luar tepi tingkap ruang tamu yang terbuka dan tidak sempat mendapatkan anaknya sebelum kanak-kanak itu terjatuh.

"Mangsa berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas Hafiz lagi, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merekod keterangan ibu bapa mangsa.

Susulan kejadian, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.

"Saksi boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain