suria

Lima suspek direman seminggu bantu siasatan kes polis mati dipukul di Balakong

Kesalahan membunuh termaktub di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

LIMA lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis berpangkat Koperal yang dipukul sehingga mati di sebuah blok rumah pangsa di Taman Impian Indah, Balakong, pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima suspek berusia antara 19 tahun hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

"Sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kajang telah membuat tangkapan ke atas lima suspek lelaki tempatan itu.

"Mereka direman tujuh hari sehingga 30 Mac ini untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis ditemui mati dipukul di Balakong

Pada Sabtu, media melaporkan polis giat memburu sekumpulan lelaki berhubung kes seorang anggota polis berusia 34 tahun yang ditemui mati di sebuah blok rumah pangsa.

Difahamkan, keberadaan kumpulan individu tersebut di lokasi dilihat mempunyai kemungkinan menjadi penyebab kematian anggota polis tersebut.

Hussein menambah, proses bedah siasat selesai dijalankan pada Sabtu dan keputusan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di kepala.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-244 6768.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain