suria

Dituduh curi RM85 dipercayai jadi punca pelajar kolej vokasional kena belasah hingga mati

Ahli keluarga mangsa sedang menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu pada Sabtu. -Gambar Thestar

PERSELISIHAN faham mengenai wang berjumlah RM85 dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut akibat dipukul di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, diserang selepas dia dituduh mencuri wang berjumlah RM35 dan RM50 daripada dua pelajar.

"Mereka menuduhnya mencuri wang itu dan mangsa dipukul sehingga mati oleh semua suspek," ujarnya pada Sabtu.

Beliau menambah siasatan kes berkenaan masih diteruskan dan Mahkamah Lahad Datu membenarkan tahanan reman selama enam hari bermula 23 hingga 29 Mac ini untuk kesemua 13 suspek yang berusia antara 16 hingga 19 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut dibelasah: Keluarga masih terkejut, mohon diberi ruang

"Kita juga telah mengambil keterangan daripada 12 saksi termasuk empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar kolej terbabit," katanya.

Katanya, kesemua suspek didapati negatif dadah semasa ujian saringan air kencing.

"Kita juga telah merampas 12 telefon pintar milik suspek," katanya sambil menambah pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mengenai punca kematian mangsa.

Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai di asrama oleh warden kira-kira 6.50 pagi Jumaat (22 Mac).

Mangsa yang merupakan pelajar program Bioteknologi di kolej berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas pihak kolej memaklumkan polis mengenai kejadian itu. -THESTAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain