suria

Bunuh kekasih: Wanita berdepan hukuman mati disyaki alami bipolar, masalah jantung

Membunuh adalah satu jenayah dan akan dikenakan hukuman berat. -Gambar hiasan

BEKAS pelajar perubatan berdepan hukuman mati atas tuduhan membunuh kekasihnya, minggu lalu.

Ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Telok Datok di Kuala Langat, Selangor, tertuduh, A Tamilselvi, 26, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sanggup 'dimadu', bekas pelajar perubatan tikam kekasih curang

Mengikut pertuduhan, model sambilan itu didakwa membunuh V Gawsigan, 26, di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, kira-kira pukul 5.30 pagi, 11 Mac lalu.

Tamilselvi dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khadijah Amir Hamdzah memohon tarikh sebutan bagi penyediaan laporan toksikologi, bedah siasat, perubatan dan kimia.

Tertuduh yang diwakili peguam Ethan Tan memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan mental kerana menghadapi masalah bipolar.

Pada masa sama turut mengalami masalah jantung dan memerlukan bantuan bateri untuk denyutan jantung.

Maslinda bagaimanapun menolak permohonan itu dan meminta pihak pembelaan menyediakan laporan perubatan tertuduh terlebih dahulu dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 April depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain