suria

Pemandu pikap seret 4 beranak naik motor gara-gara melulu tukar laluan... Kasihan 2 anak sekolah tadika luka di muka

Motosikal ditunggangi empat beranak dirempuh sebuah trak pikap. -Gambar media sosial

GARA-GARA kecuaian seorang pemandu trak pikap 4x4, empat beranak yang sedang menunggang motosikal terbabas selepas dirempuh kenderaan berkenaan yang secara tiba-tiba menukar haluan.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kenderaan yang berada di belakang motosikal mangsa, trak pikap berwarna hitam yang pada mulanya berada di lorong paling kanan, bertindak menukar haluan untuk memasuki laluan susur keluar di sebelah kiri lebuh raya.

Tindakan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri dan dua anak kecil mereka yang berada di lorong paling kiri, hilang kawalan lalu terjatuh di tengah jalan.

Pasangan berkenaan bingkas bangun dan terus mengangkat kedua-dua anak kecil mereka sambil dibantu oleh pengguna jalan raya lain yang berhenti selepas menyedari kejadian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik MPV tunjuk reaksi tak disangka selepas ‘soal siasat’ rider langgar keretanya - “Saya dah buat salah, takkan nak lari”

Menerusi paparan pada dashcam tersebut, kemalangan berlaku sekitar pukul 12.29 tengah hari Selasa.

Daripada rakaman video tersebut juga, dipercayai insiden berlaku di susur keluar (Exit 904) di Lebuhraya Sungai Besi.

Video insiden berkenaan menjadi tular di media sosial selepas dikongsi oleh akaun @Tfsgxy_ di laman X.

grab new 1

Pengguna jalan raya berhenti untuk membantu empat beranak berkenaan.

"Abang Grab tu bawa anak kecil. Mungkin baru balik sekolah. Harap kereta tu kena tangkap," tulisnya pada kapsyen video berkenaan.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 1,100 ulang kicau.

Menjengah di ruangan komen, ada netizen berkongsi keadaan mangsa di mana kedua-dua anak anak pasangan berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dirawat di Hospital Serdang.

Turut dimaklumkan, pemandu trak pikap tersebut juga berada di hospital bersama empat beranak berkenaan.

Namun rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan kerana memandu dalam keadaan cuai sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Pelajar tadika masih lengkap beruniform, lets go pull the license (ayuh tarik lesennya).

"Main telefon semasa memandu ke? Kesian budak tu.

"@PDRMsia_Trafik, @PDRMsia... jalankan tanggungjawab anda. Kesian budak tu," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain