suria

Pemandu Wira samseng habis! Rempuh motor berulang kali berang ditegur tak bagi signal, PDRM digesa ‘cari sampai dapat’

Tangkap layar video seorang pemandu Wira merempuh seorang penunggang motosikal.

SAMSENG jalanan! Begitulah gambaran sikap seorang pemandu Proton Wira dalam satu video yang kini tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 24 saat itu, pemandu kereta berkenaan dilihat dengan sengaja berulang kali merempuh seorang penunggang motosikal di tepi jalan.

Kedengaran juga bunyi dentuman kuat akibat rempuhan berkali-kali.

Rakaman tersebut dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai kakak kepada adik lelakinya yang merupakan penunggang motosikal.

Menurut wanita itu, kejadian berlaku ketika adiknya dalam perjalanan ke Sungai Dua dan melalui persimpangan Jalan Pokok Sena di Pulau Pinang, pada pagi Jumaat sebelum dipintas sebuah kereta berdekatan sebuah stesen minyak.

“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna perang datang dari arah belakang terus memotong adik saya tanpa memberikan signal dan berhenti di gerai kuih tepi jalan.

“Adik saya menjerit ke arah pemandu kereta itu dan bertanya kenapa tidak memberikan lampu signal?” tulisnya di Facebook.

Keadaan penunggang motosikal yang dirempuh kereta.

Wanita itu mendakwa pemandu itu kemudian memandu dengan laju seperti mahu melanggar adiknya yang menghentikan motosikalnya di tepi jalan.

Tidak cukup sekadar itu, pemandu berkenaan didakwa cuba melakukan sesuatu dengan menggunakan batang besi.

“Pemandu itu juga memberhentikan kenderaan di belakang motosikal adik saya dan dia keluar dengan memegang sebatang besi mahu memukul adik saya.

“Adik saya pun memberitahu pemandu tersebut ingin merakam video lalu pemandu tersebut masuk semula ke dalam keretanya dan terus melanggar adik saya berulang kali sebelum beredar dari situ,” katanya.

Akibat kejadian itu, dia berkata, adiknya mengalami kecederaan di kaki kanan, manakala motosikal juga mengalami kerosakan.

Di ruangan komen, wanita itu mendakwa adik lelakinya telah membuat laporan polis.

Video tersebut ternyata mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan tindakan pemandu kereta berkenaan sebagai melampau dan boleh mengancam nyawa orang lain.

Malah, kebanyakan mereka menggesa supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

“Mental kot orang tu. Kalau waras kenapa tak fikir dulu akibatnya apa. Geram pula tengok.

“Cari sampai dapat. Ni kalau dibiarkan, silap-silap nyawa orang lain melayang ni. Bahayanya, Allahuakbar. PDRM tolong ambil tindakan.

“Habis samseng dah la tu. Kena kutip (ditahan polis) ni nak tengok juga samseng dia macam mana pula,” komen netizen.

Sementara itu, dilaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung video tular berkenaan, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa menegur suspek yang memotong kenderaan tanpa memberi 'signal'.

"Teguran mangsa menyebabkan suspek tidak berpuas hati sehingga dia yang memandu kereta bertindak melanggar motosikal mangsa.

"Kejadian ini akan disiasat di bawah Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Asri turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian untuk berhubung balai polis terdekat atau menghubungi terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Lee Howe Chong di talian 016- 598 9576.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain