suria

Perodua Axia ditahan di lampu isyarat, pemandu lelaki ‘direntap’ keluar kereta... Ramai syak kerja geng tarik, tapi macam gengster

Kejadian sebuah kereta dipercayai 'dirampas' di sebuah persimpangan lampu isyarat.

DIKEMASKINI

GANAS! Siang hari pun berani.

Begitulah yang dihadapi seorang pemandu kereta Axia apabila berputih mata selepas kenderaan yang dinaikinya 'dirampas' dua lelaki di persimpangan lampu isyarat.

Kejadian dipercayai berlaku di Butterworth, Pulau Pinang, pada Rabu.

Menerusi satu video yang tular, pemandu Axia yang sedang berhenti ketika lampu isyarat merah didatangi oleh dua pemuda sebelum menariknya keluar.

Pemandu kereta Axia cuba mendapatkan bantuan orang awam.

Salah seorang daripada mereka kemudian melarikan kereta berkenaan.

Pemandu Axia itu merayu kepada salah seorang pelaku namun rayuannya tidak diendahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta disekat, peniaga online cedera kena tetak dengan parang... Polis tahan 2 suspek

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita mengamuk kereta ditarik, ludah pegawai dan baling kon didakwa depresi - "Anak sulung baru meninggal, suami kahwin lain"

Pada mulanya, tiada sesiapa yang mempedulikan kejadian itu sehingga beberapa penunggang motosikal cuba membantu dengan mengejar kereta yang dirampas.

Ketika itu, seorang penunggang basikal yang berada dekat lampu trafik nyaris dirempuh kereta Axia tersebut sebelum berlakunya adegan kejar-mengejar.

Sekumpulan penunggang motosikal bertindak cuba membantu dan mengejar kereta Axia yang dinaiki pelaku.

Tidak dipastikan punca sebenar kejadian, namun rata-rata netizen mengesyaki ia merupakan 'kerja' geng tarik kereta membabitkan tunggakan ansuran bulanan.

"Sangat berani sekarang! Berlaku di Butterworth, Pulau Pinang. Merompak kereta atau menarik semula kenderaan pada siang hari.

"Sentiasa ingat untuk mengunci pintu sebaik saja anda berada di dalam kereta untuk mengelakkan kejadian sedemikian," tulis seorang pengguna Twitter yang memuat video tersebut dalam satu ciapan yang kini tular.

Malah menerusi perkongsian video berdurasi kira-kira seminit, rata-rata menyifatkan kejadian tarik kereta itu seperti 'disamun'.

Rata-rata netizen mempersoalkan kejadian yang berlaku termasuk cara kenderaan tersebut ditarik yang di tengah jalan.

"Bukan ke kalau nak tarik kereta kena ada hitam putih dan budi bicara? Ini serupa macam kena rompak. Dah la ambil kereta tengah jalan macam tu, selepas tu Bangla naik basikal kena tempias. Kalau kena langgar, tak ke jadi kes polis?

"Kalau betul tarik kereta pun agak-agak la. Bukan tak ada undang-undang. Yang Tarik kereta ni pun kadang-kadang macam samseng tak tentu arah. Rileks la runding dulu, kenapa kalut sangat. Nak kejar komisyen ke?

"Selama dia tengah bergelut tu korang pandang je, masa dia (pelaku) nak gerak baru lah meratib nak rem motor, nak kejar," komen netizen.

Seorang penunggang basikal nyaris dilanggar.

Susulan video yang tular, polis menahan tiga lelaki dipercayai diupah along bagi merampas sebuah kereta milik seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin di Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tiga lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada Khamis di Kuala Kangsar, Perak, dan Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, tangkapan itu susulan video tular memaparkan sebuah kereta yang dinaiki seorang individu didakwa disamun.

"Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan.

Mohd Asri berkata, siasatan mendapati kesemua suspek diupah oleh seorang pemberi pinjaman wang untuk merampas kereta mangsa.

"Dalam kejadian ini sebenarnya, ibu mangsa berusia 57 tahun membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 tiga tahun lalu dengan seorang pemberi pinjaman wang (along).

"Ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar pinjaman berkenaan," katanya sambil menambah kegagalan wanita itu membayar pinjaman menyebabkan kereta anak lelakinya dirampas sebagaimana video yang tular.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain